
Pelumba negara bersama pasukan KTM Tech3, Hafizh Syahrin sudah mula mengeluarkan bibit awal tentang masalah sebenar beliau bersama KTM. Meskipun dengan satu hashtag ringkas berjudul #purbaponpurbalaaa yang dimuatnaik dalam laman instagram rasmi beliau hari ini, ramai peminat dapat mengagak bahawa ia ditujukan pada mesin KTM RC16 yang ditunggang beliau sekarang ini.
Keluhan Hafizh merujuk kepada jentera KTM beliau yang dikatakan mesin yang sama sahaja seperti yang beliau uji waktu di litar Sepang tahun lalu. Berbeza dengan rakan sepasukan Miguel Oliveira yang kerap mendapat komponen baru, Hafizh seakan dianaktirikan oleh pasukan sendiri dan tidak hairanlah beliau terpaksa mengerahkan sepenuh tenaganya untuk berentap sepanjang musim ini.
Satu lagi pautan menarik kami temui dari page MMM Garage di facebook yang mendakwa dapat bercakap sendiri dengan Hafizh paddock di Buriram Thailand.
Antara kenyataannya memetik’
“Enjin Purba zaman dahulukala… ini yang diceritakan oleh Hafizh sendiri kat min semalam masa lepak2.. enjin yang beliau gunakan adalah enjin sewaktu test beliau di sepang tahun lalu.. tiada perubahan keatas enjin beliau.. hanya beberapa part sahaja di tukar untuk tahun ini.. tidak sama apa yang Oliveira dapat dan dijanjikan oleh KTM.”
Jika ianya benar, kami rasa ia sesuatu yang tidak adil di mana Hafizh tidak mendapat peningkatan jentera seperti yang dijanjikan oleh pihak KTM Tech3.
Ia berlaku tanpa sebab yang munasabah, secara tidak langsung kita boleh lihat prestasi Hafizh terumbang ambing sepanjang musim dan menariknya juga meskipun jentera Hafizh lebih purba berbanding Oliveira, beliau pernah mencapai keputusan lebih baik berbanding rakan sepasukannya itu.
Dalam sesi kelayakan yang berakhir hari ini, Hafizh hanya mampu berada di petak terakhir. Namun Hafizh dalam satu kenyataan masih cuba menyembunyikan hakikat sebenar.
“Ia satu keputusan yang memalukan bila terpaksa bermula di petak akhir. Tapi dalam sesi ujian bebas ke 4 (FP4) dan pusingan kelayakan Q1 hari ini saya berada dalam kedudukan yang bagus.
Saya harap dapat lebih fokus esok, sudah tentu ia perlumbaan yang panas dan sangat panjang. Saya harap dapat kekal dalam kelompok depan saya dan matlamat penting kami ialah tamatkan perlumbaan dan kutip mata.”