Buletin

TERCABAR DENGAN MERCEDES-BENZ X-CLASS, BMW AUSTRALIA PUJUK HQ SUPAYA HASILKAN TRAK PIKAP

Pada tahun 2011, pasukan jurutera BMW ada menghasilkan lakaran trak pikap BMW sebagai usikan pada hari April Fool.

Namun kini, BMW Australia dilaporkan sedang bersungguh-sungguh memujuk ibu pejabat BMW di Jerman untuk menjadikan trak pikap atau ute BMW satu realiti.

“Kita tidak boleh menafikan trend pasaran. Kami sedang berusaha untuk memujuk dan percaya inilah model yang mesti dipertimbangkan oleh pihak pengurusan atasan BMW,” kata Ketua BMW Australia, Marc Werner.

Werner turut menegaskan bahawa lebih 150,000 ute terjual tahun lalu dan segmen itu tumbuh sebanyak 17 peratus di Australia. Malah minat pasaran lain seperti Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Selatan terhadap trak pikap atau ute juga dilihat semakin meningkat. 

Biarpun begitu, masih terlalu awal untuk memberitahu hasil cadangan membina ute BMW tersebut.

Sedia maklum bahawa Mercedes-Benz bekerjasama dengan Nissan untuk menghasilkan trak pikap pertamanya, X-Class. Menggunakan trak pikap Navara sebagai asasnya, X-Class ditawarkan dengan pilihan satu enjin petrol dan dua enjin diesel.

Dalam kes BMW pula, kolaborasi rapat dengan Toyota dalam projek BW Z4 dan Toyota Supra mungkin membuka jalan ke arah pembinaan trak pikap baharu BMW ini.    

Google ads
Back to top button