
SAKSIKAN AKSI DRIFT SELAMBA PEMANDU BAS DUA TINGKAT INI – INITIAL DD (DOUBLE DECKER)?
Pemandu bas ekspres sememangnya merupakan pemandu terlatih yang memang cukup bersedia dalam banyak keadaan semasa memandu. Tapi rakaman yang disiarkan di laman Youtube ini memang menakjubkan kerana ia seolah-olah pemandu terbabit telah melakukan aksi drift menggunakan bas ekspres dua tingkat dalam keadaan jalan bersalji.
Aksi spontan itu berlaku bila pemandu bas terbabit cuba mengelakkan sebuah kereta yang berada di depan laluan bas terbabit.
Aksi sebegini sebenarnya bukan perkara pelik jika dilakukan oleh para pemandu WRC dalam pusingan di Scandinavia yang sentiasa dilanda salji. Tapi bila ia melibatkan sebuah bas ekspres di Scotland ia sememangnya sesuatu yang jarang berlaku. Memang selamba betul gaya pemanduan pemandu bas ni.
Pemandu yang membuat rakaman ini dikatakan telah berhenti di tepi jalan berdekatan Edinburgh sebelum melihat aksi sebuah kereta di hadapan beliau yang seperti dipandu oleh pemandu mabuk. Tak tahulah apa yang difikirkan pemandunya dengan bergerak ke laluan bertentangan.
Dalam keadaan bersalji tiba-tiba muncul sebuah bas dua tingkat Lothian yang meluncur dengan agak laju dalam cuaca sedemikian.
BACA: DRIFT BAJET ORANG JEPUN – GUNA KELISA DAN GELUNG PVC!
Pemandu bas terbabit yang dikatakan bernama Charmaine Laurie segera memusingkan stereng bas terbabit untuk mengelak dari melanggar kereta yang menghalang laluannya sebelum bahagian belakang ‘terbuang’ seperti aksi drift di atas permukaan jalan yang licin. Laurie kemudian memusingkan stereng ke arah bertentangan untuk membolehkan bahagian belakang basnya mengelak kereta terbabit dengan cukup bergaya dan lancar sekaligus mengelakkan kemalangan yang mengerikan.
Mungkin juga sistem kestabilan kenderaan yang ada pada bas ini membantu Laurie mengawal basnya dengan baik tetapi keupayaan dan skil seorang pemandu turut memainkan peranan dalam situasi getir seperti ini.
Lupa pula nak bagitahu, sebenarnya pemandu bas ini merupakan seorang wanita. Lebih kelakar lagi bila suami beliau melihat video yang tersebar dan menunjukkan kepada isterinya sambil berkata, “Abang rasa ayang tak boleh memandu bas sehebat pemandu dalam video yang tengah hot ni” (terjemahan Pak Amid) sambil tersengih tanpa mengetahui sebenarnya bas tersebut dipandu oleh isterinya sendiri.
Bila dah tahu yang pemandu tersebut merupakan isterinya memang malu-malu tenuk la si suami kan?