Buletin

TGR 2019: SHUKRI YAHYA DAN NABIL DITEWASKAN SHAWN LEE

Perlumbaan Vios Challenge dalam program Toyota Gazoo Racing Festival yang berlangsung pada minggu ini menyaksikan persaingan sengit di litar sementara yang dibina di Lapangan Terbang Sg Besi – Bandar Malaysia.

Hari ini adalah hari terakhir perlumbaan dalam tiga kelas yang dipertandingkan. Paling menarik perhatian sudah tentulah kelas Promosi (Promotional Class) yang menampilkan barisan selebriti tempatan.

Konsisten hampir disetiap musim, selebriti beat boxer tempatan, Shawn Lee menamatkan perlumbaan Race 1 semalam di tempat pertama, menewaskan Shukri Yahya dan Nabil Ahmad masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Diana Danielle yang sering mengejutkan podium sebelum ini hanya mampu menghabiskan perlumbaan di tempat keempat sementara Khai Bahar di tempat kelima.

PROMOTIONAL CLASS

Perlumbaan 20 pusingan ini menyaksikan persaingan cukup sengit;

“Saya betul – betul suka trek ni. Memang laju,” ujar Shawn yang merentasi garis penamat 2.2 saat di hadapan Shukri.

Perlumbaan dikawal kereta keselamatan pada lap ke 10 berikutan insiden pelanggaran yang melibatkan artis Syafiq Kyle.

Sementara itu, perebutan tempat keenam dan tujuh cukup sengit antara Wany Hasrita dan Nabila Razali.

“Hari ini adalah hari paling sukar buat saya, tapi saya berjaya mengatasinya. Saya suka trek ni tapi kena akui yang ia memang susah,” ujar Nabila.

Bagi Ain Edruce, menamatkan perlumbaan di tempat ke lapan adalah pencapaian yang baik memandangkan beliau hanya memulakan perlumbaan di petak ke-10.

SPORTING CLASS

Dalam kelas Sporting untuk pelumba amatur, pelumba dari S&D Tama Motorsport, Tom Goh mendapat kejayaan pertamanya mendahului pasukan Crestmax Motorsport, Adam Khalid.

Kereta keselamatan masuk dua kali ke dalam litar berikutan beberapa insiden yang berlaku.

Di tempat ketiga ialah juara pusingan Terengganu, pelumba termuda Vios Challenge Hayden Haikal.

Perlumbaan kelas ini bermula dengan Mirza Syahmi Mahzan, pelumba 23 Motor memulakan petak awal namun dikenakan penalti 15 saat akibat pelanggaran peraturan mula.

Tiga pusingan dalam perlumbaan, pelumba dari pasukan Saksama Motorsport, Ricky Tan mengambil selekoh terlalu lebar dan terbabas di selekoh kiri melanggar penghadang keselematan. Beliau terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal dan kereta keselamatan mengambil alih grid perlumbaan.

Tiga pusingan selepas perlumbaan dimulakan semula, satu lagi insiden berlaku antara Clement Yeo dan pasukan Panglima City Racing Team, Kenneth Koh.

“Selepas pelanggaran Mirza, jelas saya ada kelebihan di depan. Bagaimanapun, saya lebih berhati-hati berikutan tahap cengkaman yang langsung tak sama ketika kami mula menala kereta pada kondisi trek basah sewaktu sesi ujian,” ujar Tom.

Bagi Adam, menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah yang terbaik boleh beliau lakukan memandangkan dia hanya bermula di petak kelima dan gagal mendapatkan sebarang mata dalam perlumbaan di Terengganu sebelum ini. Di Terengganu, Adam terlibat dengan kemalangan dan keretanya rosak teruk.

“Ini ibarat perlumbaan pertama saya memandangkan saya tak dapat habiskan pusingan di Terengganu. Sudah tentu, ia keputusan yang baik hari ini”

SUPER SPORTING CLASS

Kategori profesional ini diketuai oleh Tg Djan Ley yang memandu untuk pasukan 23 Motor. Beliau menamatkan perlumbaan di litar sepanjang 1.96 km ini dua saat di hadapan Mark Darwin dari Laser Motor Racing dan Freddie Ang dari Telagamas Toyota di tempat ketiga.

Tengku Sjan dan Mark bersaing hebat di kelompok hadapan sementara Freddie dan William Ho (Toyotsu Racing) bersaing di kelompok kedua.

“Kereta saya dalam keadaan bagus membolehkan saya mengekalkan kedudukan. Saya lihat laluan lurus yang panjang dan saya hanya kekalkan posisi dan fokus untuk dapatkan jarak hingga ke garisan penamat.

“Litar Bandar Malaysia lebar dan ia membenarkan anda menggunakan garisan perlumbaan untuk masuk ke selekoh dan menjadikan perlumbaan ini menarik,” ujar Tengku Djan.

Ketika pelumba dihidangkan dengan cuaca hujan pada sesi ujian bebas, semalam cuaca kering dan cerah yang agak menyukarkan pasukan dan krew menyediakan kereta dengan talaan terbaik.

Ini adalah trek terbaik di sepanjang musim TGR. Ada selekoh perlahan dan ada selekoh laju yang akan membantu pemandu yang cekap. Ia juga bergantung pada bagaimana bagusnya kereta anda ditala. Ia bukan setakat pemandu semata-mata,” ujar Mark Darwin.

“Secara jujur, saya mengharapkan perlumbaan dalam trek basah esok (hari ini). Dalam hujan, apa sahaja boleh berlaku. Anda boleh jadi yang terpantas tapi dengan hanya satu kesilapan, anda habis.!

Kepada anda yang ingin menyaksikan perlumbaan dan karnival ini, Toyota Gazoo Racing Festival bukan hanya tentang perlumbaan semata-mata. Ia menampilkan barisan kenderaan terbaru Toyota, sesi pandu uji, persembahan drift oleh pelumba profesional Jepun, konsert, bey blade, simulator perlumbaan serta jualan. Pengunjung juga boleh melihat sendiri Toyota Supra terbaru dari dekat.

Masuk adalah percuma dan hari ini adalah hari terakhir yang bermula dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

KEPUTUSAN: RACE 1

PROMOTIONAL

  1. Shawn Lee
  2. Shukri Yahaya
  3. Nabil Ahmad
  4. Diana Danielle
  5. Khai Bahar

 SPORTING

  1. Tom Goh S&D Tama Motorsports
  2. Adam Khalid Crestmax Motorsports
  3. Hayden Haikal S&D Motorsports
  4. Bradley Benedict Dream Chaser
  5. Vincent Ng Team Fokus Tetap

 SUPER SPORTING

  1. Tengku Djan Ley 23 Motors
  2. Mark Darwin Laser Motor Racing
  3. Freddie Ang Telagamas Toyota
  4. William Ho Toyotsu Racing
  5. Brendon Lim Tedco Racing

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button