
SUPRA RZ MATTE WHITE EDITION, 50 UNIT TERHAD MANUAL SAHAJA!
Sudah tiga tahun sejak Toyota memperkenalkan GR Supra pada 2019. Toyota tidak duduk diam dan ada sahaja edisi yang ditawarkan dengan yang terbaru Supra versi manual.
Menjadikannya lebih eksklusif apabila TOYOTA GAZOO Racing (TGR) menawarkan Supra RZ Matte White Edition sebanyak 50 unit sahaja untuk pasaran Jepun.
Lebih payah apabila kesemua unit tersebut ditawarkan secara undian.

Keistimewaan Supra RZ Matte White Edition terletak pada warna Matte Avalanche White Metallic, transmisi manual enam kelajuan dan kombinasi warna perang dan hitam pada bahagian dalam.
Skema warna itu boleh didapati pada varian lain cuma satu identiti khas ialah logo Matte White Edition karbon pada papan pemuka.
Kerusi yang digunakan dibalut kulit asli dan lagi ciri khas ialah pengecas tanpa wayar dan slot USB 2.1A.

GR Supra 2022 berbeza daripada model sebelum ini. Toyota telah menambah baik keseimbangan olengan dan keselesaan pemanduan dengan menala semula sistem Adaptive Variable Suspension (AVS).
Toyota juga menukar sesendal (bushing) untuk mempertingkatkan lagi respon awalan stereng.
Turut diubah ialah sistem kawalan casis seperti AVS, stereng berkuasa elektrik dan Kawalan Penstabilan Kenderaan bagi mempertingkatkan lagi rasa stereng dan keboleh kawalan ketika pemanduan berprestasi.

Supra RZ menggunakan roda aluminium 19 inci dan jika ada yang perasan, rekaannya sama seperti GR Yaris dan GR86.
Roda ini disaluti warna titanium dark silver dengan berat 1.2 kg lebih ringan untuk setiap roda berbanding sebelumnya.
Roda lebih ringan menyumbang kepada keselesaan pemanduan yang lebih baik dan kestabilan stereng.
Toyota juga menawarkan dua warna baharu iaitu Volcanic Ash Gray Metallic dan Dawn Blue Metallic untuk Supra RZ dan SZ-R. Pada bahagian dalam Supra RZ diberikan kombinasi warna perang dan hitam.

Tidak hanya aspek mekanikal, pengendalian dan mekanikal, Toyota melengkapi Supra RZ dan SZ-R dengan sistem audio premium JBL.
Berkenaan harga, Toyota Supra RZ Matte White Edition dijual pada 7,890,000 yen (RM264,215).
Empat lagi varian iaitu Supra SZ dan SZ-R (automatik) dijual pada harga 4,995,000 yen (RM167,269) dan 6,013,000 yen (RM201,359) dan RZ (manual dan automatik) berharga 7,313,000 yen (RM244,893).

BACA: TOYOTA KLUGER DENGAN ENJIN 2.4L TURBO, TIADA LAGI 3.5L V6 DI AUSTRALIA!
BACA: TOYOTA COROLLA GR SPORT 2023, PRAKTIKAL UNTUK PEMANDUAN HARIAN
BACA: TOYOTA MINTA YAMAHA BANGUNKAN ENJIN HIDROGEN V8 NA. KUASA CECAH 444HP, 540NM














