,
Buletin

THAILAND RALLY CHAMPIONSHIP RD 3 & 4 : LAGU NEGARAKU BERKUMANDANG DI PETCHABUN

Buat pengikut Mekanika, sudah tentu mengetahui tentang perkhabaran penyertaan pasukan Malaysia yang diketuai One Motorspors, JRSpeed Sucimuci dan juga Purnama Rally Team di Thailand Rally Championship (TRC) Rd 3 & Rd 4 yang sepatutnya berlangsung di Provinsi Lampang. Sikit lagi nak sampai ke Chiangmai. Tapi entah macam mana, berlaku masalah teknikal di saat akhir melibatkan pihak yang berkuasa, walhal setiap pasukan sudah pun menyelesaikan recce selama dua hari sebelumnya. Hasil perbincangan di saat akhir diantara penganjur serta para peserta, mereka akhirnya bersetuju agar perlumbaan TRC ini diteruskan juga di lokasi sebelum ini, Phetchabun . Maka, berpatah baliklah mereka semua ke Phetchabun pada hari Jumaat yang mengambil masa perjalanan diantara 3 – 4 jam. Mujur juga pihak penganjur turut menyediakan pengangkutan untuk peserta dan juga kereta. Takkan lah si Chepot dan kawan – kawan nak menaiki TukTuk dari Lampang. Patah pinggang oi!

Memandangkan masa kian suntuk, maka recce hanya dapat dilakukan pada Sabtu pagi dan perlumbaan TRC Rd 3 hanya akan berlangsung pada sebelah tengahari dengan jarak SS yang cukup singkat. Sudahlah singkat, penyertaan yang diterima daripada pasukan tuan rumah juga amat menyendukan. Adalah seorang wakil yang memandu Impreza WRX. Mujur juga kontingen Malaysia memeriahkan suasana. Rasanya Shakedown itu hari lagi banyak kereta kot.

Rd 3

Pada perlumbaan yang dilangsungkan pada tepat jam 1.00 tengahari waktu tempatan, hanya 4 peringkat sahaja yang dipertandingkan. Tumpuan sudah tentu terarah kepada kategori utama yang membabitkan empat buah kereta utama, Rachmat dengan Evo 8 yang lengkap dengan kotak gear berjujuk (sequential), Satoru Ito dengan Evo X, Chepot dengan GC8 serta pelumba tempatan sebagai wakil.

Rachmat bukanlah asing dalam MRC apabila menyapu bersih dalam MRC tahun lepas dan pernah juga berlumba di Thailand tahun lepas sememangnya tidak mempunyai masalah untuk mengatasi pencabarnya apatah lagi dengan kelebihan yang ada pada Evo 8 beliau. Rachmat berjaya mengatasi Ito dengan kelebihan 32 saat. Manakala Chepot pula menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan ketinggalan 49 saat di belakang Rachmat. Menurut kata Chepot, beliau sangat berpuas hati dengan laluan trek yang pendek sebegini banyak memberikan kelebihan kepada GC8 beliau untuk mengejar dua Evo di hadapan.

Manakala Henzee yang memandu Satria Neo Mivec pula menduduki tempat kelima keseluruhan dan tempat pertama kategori Super 1600. Hanya ketinggalan masa 2.22 dibelakang Rachmat. Tempat kedua kategori Super 1600 menjadi milik Jusri dari pasukan JRSpeed Sucimuci. Manakala satu lagi pasukan tempatan Purnama Rally Team dengan pemandu muda, Hashrul menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan dengan ketinggalan masa 7.47 berbanding pemenang tempat pertama.

Rd 4

Pusingan keempat TRC 2019 bermula awal pagi Ahad. Kesemua pasukan tempat masih lagi bersemangat untuk meneruskan perlumbaan. Terutamanya Chepot setelah mengalami sedikit kemalangan pada hari sebelumnya yang mengakibatkan pintu Juruarah tidak boleh dibuka. Kalau tak boleh buka, memang tak boleh berlumbalah jawabnya. Tiga jam jugalah baru selesai masalah tersebut oleh krew. Sebenarnya pada saingan hari Ahad Chepot berjaya memberikan tekanan kepada pendahulu untuk mengejar. Malah, pada satu peringkat, masa yang dicatatkan Chepot dan juga Saturo Ito adalah sama. Cuma ditakdirkan Chepot mengalami sedikit masalah dengan kotak gear yang mengakibatkan beliau kehilangan masa dan akur untuk berada dibelakang pelumba Jepun tersebut. Oh ya, suka untuk Brader Karrager kongsikan bahawasanya Saturo Ito sebenarnya turut berpasangan dengan Juruarah yang berasal dari Malaysia, Sean F. Gregory.

Masalah juga sebenarnya menimpa Henzee pada hari Ahad apabila beliau terpaksa berlumba dengan ketiadaan Power Stereng pada Neo beliau sepanjang hari. Kata Henzee, serupa memandu Lori Hantu dia nak kawal si Neo yang semakin buas dengan nadi baharu. Berurat dan berurut lah kejap tangan si Henzee pada hari kejadian. Dan kesempatan ini sudah tentu diambil oleh Jusri dan pasangannya Shahrol untuk mengambil posisi pendahulu sehingga ke akhir saingan. Berita ini sudah tentu menggembirakan Pengurus Pasukan, Nizam yang ternyata berpuas hati dengan prestasi kereta Proton Satria 1.6 dan juga pemandunya walaupun kereta tersebut turut mengalami masalah sistem ampaian pada hari Sabtu namun masih berupaya diselesaikan dan kembali berlumba.

Dan melengkapi senarai penyertaan adalah Hashrul yang memandu untuk kategori Super 1300 bersama Proton Satria 1.3 sambil ditemani makcik beliau, Rozita Tukimin selaku Juruarah. Apa pun, tahniah kepada kesemua kontingen Malaysia. Apa juga keputusan, kalian semua telah berjaya menamatkan perlumbaan dengan jayanya. Yang penting, lagu Negaraku berkumandang di bumi Thailand. Syabas! Terima kasih juga kepada Adrenaline Impact kerana membawakan siaran secara langsung untuk tontonan. Er, BK pinjam gambar ya.

Kredit Foto : FB Adrenaline Impact

BACA : TRC 2019 – HENZEE BERJAYA MENGUTIP MATA BERHARGA DI PHETCHABUN

BACA : JRSPEED SUCIMUCI TURUT BAKAL BERAKSI DI THAILAND RALLY CHAMPIONSHIP

Tags
Google ads
Back to top button