Buletin

PROGRAM PERINTIS E-HAILING MOTOSIKAL AKAN DIJALANKAN SELAMA 6 BULAN BERMULA JANUARI 2020

Malaysia akan membenarkan firma-firma e-hailing motosikal seperti GoJek dari Indonesia dan startup tempatan, Dego Ride untuk memulakan operasi dalam skala kecil mulai Januari 2020. 

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang memberitahu program perintis itu akan menentukan sama ada wujud permintaan terhadap perkhidmatan tersebut.

Bakal dijalankan selama enam bulan berasaskan kepada proof-of-concept, program tersebut dilaksanakan di Lembah Klang, lokasi di mana permintaan terhadap pengangkutan dilihat paling tinggi. 

Kerajaan mungkin akan mengembangkan perkhidmatan itu ke kawasan lain jika wujud permintaan. 

Program perintis itu akan membolehkan kerajaan dan pihak berkaitan untuk mengumpul data dan menilai permintaan terhadap perkhidmatan tersebut. Kerajaan juga mempunyai masa untuk merangka undang-undang bagi menguruskan e-hailing motosikal. 

Menurut Anthony, ia akan tertakluk kepada garis panduan dan undang-undang sama yang telah digariskan ke atas e-hailing kereta. 

“E-hailing motosikal akan menjadi komponen penting dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang komprehensif. Ia menjadi sambungan di antara satu bentuk pengangkutan awam ke mode pengangkutan awam yang lain,” katanya. 

Penyedia e-hailing utama di Malaysia, Grab mlelihat pengumuman itu sebagai salah satu persaingan sihat dan menulis “Bring it on! pada hantaran Twitter milik mereka.  

Google ads
Back to top button