
TOYOTA HARRIER, BILA SEDAN CAMRY DIJADIKAN SUV MEWAH.
SUV atau crossover ini sebenarnya tinggi tuan-tuan, walaupun pada asalnya ia dihasilkan dengan menggunakan cesi atau platform yang sama dengan sedan. Tinggi ini membolehkan pemandu mendapat pandangan yang lebih jauh dan lapang serta crossover boleh meredah banjir kilat dengan tenang.
Tapi ketinggian ini ada kaveat dia tersendiri, dimana pusat graviti akan menjadi lebih tinggi lantas mengganggu pengendalian. Kedudukan crossover yang tinggi ini juga tidak bagus untuk aerodinamik, menjadikan bacaan bahan api lebih daripada biasa kerana lebih banyak kuasa enjin digunakan untuk menentang angin.

Jadi jurutera perlukan 2 parameter bagi mengatasi masalah ini iaitu platform yang bagus dan sistem trenkuasa yang cemerlang. Mereka ambil platform TNGA-K yang sama digunakan oleh Camry, naikkan jarak kelegaan bumi sehingga 25mm lebih tinggi maka lahirlah sebuah crossover yang sangat bergaya dan mengekalkan sistem gantungan double wishbone di bahagian belakang bagi menghadiahkan dinamik pengendalian bagus.
Disebabkan komitmen Toyota terhadap pengurangan gas karbon dioksida, enjin turbo 2000cc 4 silinder 8AR-FTS yang menghasilkan 227 kuasa kuda dan 350Nm tork serta dipautkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik digantikan dengan unit baru. Model baru menerima enjin Dynamic Force yang 2000cc Normal Aspirated.

Enjin dengan kod M20-FKS dengan teknologi VVTi-E ini menawarkan 170 kuasa kuda dan 203Nm tork, sudah cukup untuk memacu Toyota Harrier seberat 1610kg ini mara ke depan tanpa masalah. Walaupun nampak kuasa enjin makin berkurang, tapi prestasi Harrier dipertingkatkan dengan penggunaan transmisi serba baru
Unit ini merupakan unit yang sama dipasang pada Lexus UX mula digunakan oleh Toyota Harrier di Malaysia. Sebenarnya transmisi Direct Shift CVT ini adalah transmisi yang memang dipadankan dengan enjin M20-FKS 2000cc digunakan pada kebanyakan model Toyota yang menggunakan enjin ini termasuklah RAV4 2.0 yang sudah dihentikan penjualan oleh UMW Toyota

Direct Shift CVT ini memang responsif, persis unit transmisi dual klac tapi disebabkan kekurangan turbo maka pecutanya tidak keras, tapi lancar ke depan dengan bertenaga. Disebabkan ia menawarkan julat ratio yang lebih luas, maka ia tiada masalah untuk menawarkan sehingga 10 ratio maya. Dengan pemanduan santai pada 80km/j, meter RPM hanya berada pada 1200 sahaja.
Toyota memberi bacaan penggunaan petrol pada 15.4 kilometer per liter. Penulis pula dengan halaju tetap 130km/j berjaya mendapat bacaan sekitar 14.88km per liter. Hanya 4% sahaja berbeza dengan bacaan yang diberikan oleh Toyota. Untuk sebuah SUV dengan berat 1610kg, angka ini sebenarnya wajar dipuji

Bagi penulis ia satu angka yang membanggakan, sebab ia jauh lebih berat dari Camry dan lebih tinggi tapi bacaan purata petrol Harrier jauh lebih baik. Dari aspek pemanduan penyerap hentakan yang lebih keras menjadikan Harrier lebih sedap beraksi di jalan beralun dan berselekoh berbanding dengan Camry
Jika dibandingkan dengan kembar jauhnya iaitu RAV4 yang juga menggunakan cesi TNGA-K, Harrier nyata lebih eksklusif dan terasa lebih mahal. Pelekap plastik tidak dipasang pada bahagian “wheel arch” seperti RAV4, cukup hanya sekadar di bahagian bawah bagi melindunginya daripada percikan batu.

Walaupun menggunakan platform TNGA-K yang sama antara Camry, Harrier dan RAV4, tapi ketinggian masing-masing adalah berbeza. Paling rendah Camry yang memiliki ketinggain 160mm, diikuti oleh Harrier pada 185mm dan RAV4 pada 213mm
Harrier khusus untuk rekaan sporti dan eksekutif, manakala RAV4 lebih kepada utilitarian dan nampak lebih “rugged”. Harrier pula tampil dengan rekaan paling bergaya dengan lampu depan mirip rekaan mata helang yang dilengkapi dengan Bi-LED, lampu DRL dan juga Adaptive High Beam System yang sangat membantu ketika memandu di waktu malam

Dari bahagian belakang Toyota Harrier persis rekaan Jaguar F-Pace terutama di bahagian “duck tail” yang dihiasi dengan lampu posisi malam yang direka secara melintang di bahagian belakang dan juga lampu brek ketiga yang besar di bahagian bawah spoiler belakang.
Cuma nampak lagi kemas kalau pengelap cermin belakang disembunyikan dibawah spoiler sama seperti model Alphard/Vellfire. Posisi lampu penunjuk arah pula adalah lebih baik diletakkan di bahagian atas bagi memudahkan pemandu lain nampak. Selain dari itu, rekaan Harrier generasi baru ini adalah paling menawan dan selamat

Ia tidak direka dengan garis bucu tajam, jeriji depan yang terlalu besar dan menonjol serta bahagian belakang yang provokatif seperti Lexus RX. Rekaan Harrier ini agak lembut terutama dengan permainan garisan di bahagian tepi (shoulder line), namun agak garang dengan bahagian lampu depan tapi eksklusif dengan rekaan lampu belakang.
Di bahagian pemandu semua butang-butang kawalan penting diwujudkan secara fizikal. Ini bermakna pemandu tak perlu menggunakan skrin sesentuh untuk menghidupkan ciri-ciri penting. Butang penyaman udara 2 zon, butang penghidup enjin, Lane Keep Assist, sistem pemanduan adaptif dan ciri Adaptive High Beam diletakkan pada posisi mudah dicapai

Tombol gear rekaan baru yang lebih pendek, sporti dan sedap digenggam juga kekal seperti biasa bersama ciri Shifftronic 10 kelajuan. Konsol tengah hanya menempatkan butang Autohold, parkir brek elektrik dan butang kawalan mode pemanduan (Sport, Normal, Eco). Tapi kebanyakan masa penulis kekal menggunakan mode Normal, tak perlu pun guna Sport Mode
Kami senaraikan beberapa ciri mewah Toyota Harrier ini untuk anda nilai:
1. Ciri cermin suria atau Moonroof dengan tirai automatik yang berwarna hitam. Cermin moonroof ini datang dengan fungsi elektrokromatik boleh dicerahkan atau digelapkan dengan satu butang khas

2. Pencahayaan biru lembut dari celah-celah panel kemasan di bahagian papan pemuka dan juga konsol tengah yang menempatkan tombol gear. Warna biru lembut ini akan menjadi semakin pudar bila enjin dihidupkan dan kereta dipandu
3. Ruang pengecas telefon tanpa wayar dan 4 sambungan soket USB

4. Kusyen ala-ala “bucket” perlumbaan tapi dengan kemasan kulit serta 12 cara ubahsuai serta 2 butang memori. Stering akan diubah dengan mengggunakan butang kuasa elektrik.
5. Kusyen dan stering pemandu akan bergerak ke belakang sedikit selepas tali pinggang dibuka bagi memudahkan anda keluar, dan rapat ke depan selepas enjin dihidupkan. Kusyen juga datang dengan ciri kipas penyejuk dan pemanas

6. Cermin pandang belakang digital yang mengubah cahaya silau kereta belakang menjadi tidak silau secara automatik
7. Ciri “welcome light” dengan motif kepala burung Harrier yang akan menyala secara automatik jika ia mengesan anda berada berdekatan kereta

8. Unit paparan digital Head Up Display yang memaparkan maklumat penting seperti bacaan RPM, halaju dan juga maklumat berkenaan sistem infor hibur
Ciri-ciri keselamatan dipakejkan dalam sistem Toyota Safety Sense merangkumi Pre-Crash System, Lane Departure Alert dengan bantuan pembetulan stering, dan Lane Tracing Assist, selain daripada 7 beg keselamatan udara serta sistem Vehicle Stability Control
2 perkara yang boleh dipuji berkenaan dengan sistem Pre-Crash ini iaitu sistem ini boleh melakukan brek kecemasan dengan bersahaja dan tenang dari 130km/j kepada 80km/j tanpa ada sebarang drama. Ketika di dalam kesesakan jalan raya, Pre-Crash System ini membrek lebih pantas dari penulis. Kita baru niat, dia dah brek dulu.

Tapi jika anda berkenan, anda perlu menerima hakikat bahawa crossover mewah dari Toyota ini diimport sepenuhnya dari Jepun. Maka ia akan didenda dengan pelbagai cukai yang menjadikan harganya hampir RM 250,000. Ya suku juta ringgit untuk sebuah Toyota yang posisinya premium.
Mungkin bagi sestengah orang harga tersebut sukar untuk ditelan dan anda mula buat perbandingan harga apa yang boleh dibeli dengan harga RM 250 ribu. Anda boleh dapat Mini Cooper S Countryman, Volvo XC40 Recharge, Lexus UX ataupun Mazda CX-8 2.2 AWD

Tapi semua calon yang dinyatakan di atas ialah crossover C segmen (Mini Cooper, XC40 & Lexus UX) dan dibuat di Malaysia kecuali Lexus UX. Hanya Mazda CX-8 berada dalam segmen D sama (tapi dengan 6 tempat duduk 3 baris) seperti Toyota Harrier tapi dibuat secara CKD untuk pasaran Malaysia.
Toyota Harrier hampir tiada saingan dalam kelasnya, sebuah crossover 5 tempat duduk CBU dalam segmen D. Tapi berita baiknya ialah Toyota Harrier ini sebenarnya hampir RM 10 ribu lebih murah daripada model generasi ke 3 dengan spesifikasi yang hampir sama.
Toyota dah lama rancang untuk murahkan model Harrier, kita saja yang lalai.