Artikel Pilihan

TINGGIKAN KERETA GUNA JEK TAYAR, BOLEH ISI BAHAN API LEBIH BANYAK?

Minggu lepas, Haziq (pengasas page Ajar ) bertanyakan saya perihal gambar ni (gambar 1) dan saya telah berikan jawapan pendek (gambar 2).

Kali ni jom kita cuba fahami isu ini dengan lebih mendalam.

Daripada gambar yang diberikan (gambar 1), kita dapat lihat sebuah Toyota Corolla yang ‘jek’ tayar belakangnya untuk mengisi minyak.

Perbuatan aneh ketika mengisi minyak ini seringkali dapat dilihat di kawasan sempadan selatan negara. Selain ‘jek’ kereta, ada juga yang menghenjut² badan kereta.

Gambar 2

Kenapa ya??

Pertama, harga minyak petrol di Singapura adalah lebih mahal daripada harga di Malaysia. Di Singapura harga petrol seliter adalah:
• RON 95 = $3.00 (RM9.32)
• RON 98 = $3.47 (RM10.78)

Berbanding harga Malaysia terkini (31 Mac – 6 April):
• RON 95 = RM2.05
• RON 97 = RM3.91

Kita boleh lihat harga petrol di Singapura adalah lebih mahal hampir 4.55 kali ganda berbanding Malaysia untuk RON95.

Sebab itu apabila pemandu Singapura dapat rentas negara, mereka akan ambil peluang untuk mengisi minyak di Malaysia penuh (sepenuh²nya) sebelum pulang ke negara mereka.

Harus diingati bahawa mana2 kenderaan asing (foreign-registered vehicles) tidak layak untuk membeli RON95 sejak 1 Ogos 2010. Mereka hanya boleh membeli RON97 atau lebih tinggi. Ini kerana RON95 mempunyai subsidi daripada kerajaan kepada rakyat Malaysia. Kalau lah anda ternampak, sila tegur mereka (pemandu) & pesan pada abang/kakak kaunter stesen minyak juga.

Gambar 3

Dah faham kenapa, baru boleh kita sembang hal fizik.

Tindakan menge’jek’ atau henjut² kereta ni adalah disebabkan cubaan untuk mengisi tangki minyak kenderaan sepenuhnya² dengan permahaman sistem kenderaan yang cetek.

Pada pandangan mereka (mohon jangan disalahkan seluruh warga Singapura ya! Hanya orang yang buat tindakan ini), mereka fikir apabila petrol mengisi tangki, akan wujudnya gelembung2 udara pada siling (bahagian atas) tangki (lihat gambar 3a). Dengan jek kereta sebelah, adalah dianggap bahawa gelembung2 udara ini akan lari keluar mengikut laluan corong isian (gambar 3b).

Permahaman ini adalah tidak benar. Ini kerana tangki kereta/kenderaan mempunyai beberapa laluan angin/wap (vapour vent).

1) Laluan wap utama: ‘vapor return hose’ (gambar 4).
• Laluan ini adalah saluran yang anda boleh lihat apabila mengisi minyak penuh, tiba2 terkeluar minyak daripada sisi saluran corong utama.
• Laluan ini kegunakan utamanya adalah untuk pernafasan sewaktu mengisi. Ye lah, bila petrol masuk, udara dalam tangki kene lah keluar. Inilah salurannya.

Gambar 4

2) Laluan wap kedua: (Evaporative Emission Control System, EVAP) (gambar 5).
• Laluan ini sangat main peranan apabila kereta terdedah kepada kepanasan yang mana akan mengakibatkan minyak petrol meruap. Ruapan minyak tadi jika dilepaskan ke atmosfera akan rugilah kita (kerana minyak tersia²) dan juga akan mencemarkan alam.
• Daripada dilepaskan ke atmosfera begitu sahaja, laluan ini direka untuk melalui satu komponen dipanggil ‘vapour canister’ atau ‘charcoal canister’. Kanister ini tugasnya menyimpan wap bahan api tadi. Wap tadi bila cukup tebal boleh disalurkan ke enjin untuk dibakar. Ini membantu meningkatkan kecekapan bahan api (fuel efficiency), mengurangkan pencemaran & kereta kita tidak berbau petrol macam kereta carburettor dulu².
• Kedudukan paip suapan atau mulut paip EVAP ni terletak berjauhan daripada hos pengisi bahan api.

Dengan adanya dua laluan angin pada tangki minyak kenderaan ini, angin yang dianggap terperangkap pada siling tangki sebenarnya dapat keluar dengan baik ketika minyak diisi. Jadi tak perlulah risau yang tangki tu dapat penuh ke tidak; memang penuh lah.

Apakah kesan sebaliknya?

Dengan mengisi terlalu penuh (sepenuhnya²), ada kemungkinan petrol tadi akan melimpah keluar. Kalau kereta lama atau motorsikal berkapasiti rendah, limpahnya ke jalan raya. Tetapi untuk kenderaan moden, limpahan petrol akan mengisi vapour canister (charcoal canister). Dan ini akan menyebabkan komponen ini cepat rosak daripada yang dijangkakan.

Maka, fikir²lah ya. Nak isi penuh² yang mungkin tak sampai 1 liter tu atau sanggup berdepan dengan akibat kerosakan yang lebih mahal.

Saranan saya, bila mengisi minyak penuh, cukuplah sampai kepala pum (pump gun) tu tendang. Tak perlu berlebih²an.

Buatlah pilihan yang bijak.

Selamat berpuasa semua,
Dr Aid Fawzal
Middlesbrough UK

*Jek = ‘jack’, istilah asal BM bicu.
**Saya baru tau istilah asal BM untuk laluan angin (vent) adalah bolong-bolong

Google ads
Back to top button