Buletin

TOKYO AUTO SALON KUALA LUMPUR 2024: LEBIH BESAR, MENARIK DAN PENUH ELEMEN BAHARU

Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 kini kembali dan dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 10 November di MITEC (Malaysia International Trade & Exhibition Centre).

Acara selama tiga hari ini menjanjikan persembahan lebih besar dan menarik dengan lebih 300 buah kereta bertaraf tinggi, termasuk 15 yang dibawa khas dari Jepun.

Salah satu tarikan utama adalah peluang untuk pengunjung pulang dengan sebuah Honda Civic FK8R Type R Mugen yang telah ditala, sebagai hadiah cabutan bertuah.

Acara ini juga menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan auto styling yang akan dinilai oleh tuner terkemuka Jepun, demonstrasi drift, cabaran simulator perlumbaan, pertandingan audio, serta persembahan secara langsung.

Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur tahun ini turut menampilkan kehadiran Smoky Nagata dari Top Secret, serta pameran daripada jenama terkenal seperti Veilside, Trust/Greddy, dan Option.

Selain itu, peminat JDM juga boleh membeli barangan rasmi yang menampilkan grafik model ikonik seperti Nissan GT-R, Honda Civic Type R, dan Toyota Supra.

Edisi khas diecast 1/64 Nissan GT-R R33 (NISMO 400R) juga boleh diperolehi dengan pembelian tiket, atau dibeli semasa acara berlangsung (tertakluk kepada stok).

Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 juga akan memperkenalkan duta-duta acara termasuk dari Malaysia dan Jepun, di mana seorang daripada duta Malaysia akan berpeluang mewakili negara di Tokyo Auto Salon 2025 di Jepun.

Acara ini adalah satu-satunya Tokyo Auto Salon yang diadakan di luar Jepun, dihoskan oleh Element X Strategies dan MUSE Group Asia, dengan kerjasama San Ei Corporation.

Bagi melayakkan diri untuk cabutan bertuah, pembeli tiket hanya perlu menambah RM28. Tiket biasa berharga RM60 untuk sehari, dan RM120 untuk pas tiga hari.

Tiket kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun berharga RM30 sehari atau RM60 untuk pas tiga hari.
Kanak-kanak di bawah umur enam tahun diberi kemasukan percuma, manakala orang kurang upaya (OKU) bersama seorang penjaga layak menerima diskaun 50%.

Untuk mereka yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, TASKL 2024 memperkenalkan tiket Express Lane berharga RM80 sehari, dan pas VIP berharga RM150 sehari termasuk akses ke lounge VIP.

Selain itu, terdapat juga akses khas Black Tag berharga RM1,500 yang menawarkan pelbagai keistimewaan seperti parkir valet percuma, akses ke lounge Black Tag dengan minuman tanpa had, akses ke kereta-kereta Jepun di pavilion, serta banyak lagi.

Tiket boleh didapati di https://tickets.tokyoautosalonkl.com%20%5Ch

Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web rasmi www.tokyoautosalonkl.com atau ikuti platform media sosial Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur di Facebook, Instagram, dan TikTok.

Google ads
Back to top button