Buletin

TOYOTA 4RUNNER EDISI 40 TAHUN DILANCAR DI AMERIKA, 4040 UNIT SAHAJA

Sedar ataupun tidak, sudah 40 tahun semenjak Toyota 4Runner diperkenalkan, di mana ia kini sudah pun memasuki generasi kelima.

Permintaan terhadap SUV itu masih lagi kuat, di mana pada tahun 2021, Toyota mencatatkan jualan sebanyak 144,696 unit, atau peningkatan sebanyak 12.1 peratus.

Untuk model tahun 2023, ia bukanlah SUV generasi baharu, sebaliknya Toyota mengekalkan binaan asal 4Runner namun diberikan edisi istimewa 40th Anniversary Special Edition.

Model edisi ulang tahun yang ke-40 ini mendapat elemen retro seperti contoh liveri gandingan warna kuning, jingga, dan merah, diikuti dengan kemasan warna badan Midnight Black, Barcelona Red atau putih, serta lencana ulang tahun yang ke-40 berwarna gangsa.

Selain itu, terdapat rim bersaiz 17 inci yang turut didatangkan dalam warna gangsa, serta kemasan jahitan yang boleh didapati pada tempat duduk dan juga tombol gear.

Dijual secara eksklusif dalam versi 4WD SR5 Premium, 4Runner 40th Anniversary Edition ini hanya akan dihadkan produksinya sebanyak 4,040 unit sahaja.

Untuk varian lain, Toyota mengemaskini penawaran 4Runner dengan penambahan ciri pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang secara standard, diikuti dengan lampu utama LED, dan ciri keselamatan Toyota Safety Sense.

Google ads
Back to top button