Buletin

TOYOTA ANJUR PROGRAM JELAJAH JUNIOR ELIT, FOKUS PEMBANGUNAN AKAR UMBI SUKAN GOLF

Pembangunan akar umbi dalam sukan sering dipandang sepi terutama sekali sukan yang kurang menyerlah di Malaysia dan kesannya kita boleh lihat pada beberapa sukan, antaranya adalah golf.

Dengan ruang serta peluang, Toyota baru-baru ini menganjurkan Toyota Tour Junior Elite Programme bertujuan untuk menggalakkan pemain golf berusia 14 hingga 18 tahun menerima latihan terbaik sebelum melangkah ke karier profesional.

Program ini menyaksikan seramai 12 bakat terpilih untuk menimba ilmu merangkumi latihan fizikal, teknikal serta merasai pengalaman sebenar dengan menyertai kejohanan. 

“Untuk program ini, kami ingin mengajar mereka tentang golf profesional, ini adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. 

“Kami mahu mendidik mereka tentang cara menjadi pemain golf lebih baik dengan strategi, mentaliti serta pendekatan lebih baik. Itulah tumpuan utama kami,” kata Pengarah Toyota Tour Junior Elite Programme, Chris Marrs.

Tambahan, kesemua 12 peserta ini bakal menerima ‘air tangan’ jurulatih berpengalaman dari Afrika Selatan.

“Senarai calon ini disediakan oleh Persatuan Golf Malaysia. Pemain kami adalah berusia 14-18 tahun serta datang dari pelbagai etnik dan latar belakang,” jelasnya lagi.

Menurutnya, bagi memastikan setiap peserta menerima pendedahan terbaik, terdapat dua bahagian latihan bakal dijalani oleh peserta iaitu bahagian teknikal dan prestasi. 

Lebih menarik, simulasi kejohanan dan berlatih di bawah tekanan juga merupakan sebahagian daripada modul latihan. 

Umum mengetahui bahawa perkembangan seorang atlet perlu berlaku dengan pantas terutama ketika berada di usia remaja. 

Menyedari perkara tersebut, program ini juga menyediakan tiga hingga empat jurulatih, ahli fisioterapi, empat jurulatih kecergasan, pengurusan peralatan serta dibantu oleh pasukan teknologi. 

“Saya mempunyai kerjaya yang panjang dalam bermain, jadi tujuannya adalah untuk berkongsi pengalaman dengan mereka dan membincangkan pilihan mereka. 

“Seorang pemain golf berusia 18 tahun misalnya, mereka tidak mempunyai banyak masa untuk menentukan masa depan kerana bakal menamatkan sekolah menengah,” tambah Marrs.

“Mereka mempunyai beberapa pilihan antaranya meneruskan golf di kolej di Amerika atau pergi ke kolej tempatan, menjadi profesional dan menerima kedua-duanya sekali. Program kami adalah mengenai membentuk mereka untuk menjadi pemain lebih baik.”

Selain itu, 12 orang peserta ini akan berlatih secara intensif selama lapan minggu sebelum seorang pemain golf terbaik bakal terpilih untuk beraksi di final Toyota Championship (ADT) pada November.

Sesuai latihan diberikan, pada akhirnya yang menentukan seseorang atlet berada dalam prestasi terbaik sudah tentu diterjemahkan dengan keputusan. 

Dalam tempoh tiga minggu pertama, beberapa pemain golf ini telahpun menang dalam jelajah junior yang disertai, manakala pemain lain turut pulang dengan gelaran naib juara.

“Ambil Wan Hasnul Daniel sebagai contoh. Dia mempunyai potensi dan karakter. Adif Haikal mempunyai hayunan yang kuat. Seorang lagi ialah Sohniya Chandra Mohan, datang dengan pakej lengkap.

“Dia mempunyai gaya permainan, fokus, keazaman dan adab. Itulah impian setiap penaja. Ini adalah antara kualiti yang kami ingin tanam dalam diri pemain.”

Dalam pada itu, Marrs berkongsi lima ciri pemain golf junior terbaik sebelum melangkah menjadi pemain golf profesional. 

“Anda perlu menyesuaikan diri dengan pelbagi keadaan, memiliki keyakinan, mempunyai pemahaman, selain memberi fokus sepenuhnya,” akhiri Marrs. 

Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Datuk Ravindran K, menjelaskan bahawa misi Toyota adalah untuk membantu mengembangkan generasi pemain golf di Malaysia.

“Kami amat percaya bahawa Malaysia mempunyai belia berbakat, pintar dan kami mahu memperkasakan mereka untuk mencapai matlamat mereka,” katanya.

Google ads
Back to top button