TOYOTA AYGO X UNDERCOVER MUNCUL DI PARIS FASHION WEEK, 5000 UNIT SAHAJA
Toyota telah bekerjasama dengan jenama pakaian Jepun Undercover untuk menghasilkan Aygo X Undercover edisi terhad bersempena dengan Paris Fashion Show.
Model Aygo X Undercover itu banyak diinspirasikan daripada falsafah rekaan ketua Undercover, Jun Takahashi.
Ia membawakan layangan warna badan kelabu dua tona yang dibangunkan oleh Toyota, beserta dengan aksen coral red pada rim aloi hitam bersaiz 18 inci, tempat duduk, alas lantai serta pelekat bumbung yang menampilkan moto “CHAOS/BALANCE”.
Menurut Jun Takahashi, ini merupakan kali pertama beliau melakukan kolaborasi dengan syarikat automotif.
Di Eropah, Toyota Aygo X merupakan kereta Toyota yang paling kecil merangkap kereta yang paling mampu milik sejak dari tahun 2005 lagi.
Generasi pertama dibangunkan menerusi kerjasama dengan Peugeot dan Citroen, manakala generasi terbaharu pula dibangunkan sepenuhnya oleh Toyota, di mana ia kini menjadi model crossover berbanding model hatchback tradisional.
Toyota Aygo X Undercover hanya ditawarkan sebanyak 5,000 unit sahaja, dan ia dijangka lebih mahal berbanding model standard Aygo X yang dijual bermula dari 16,000 euro (RM75,948). – Motor1