Buletin

TOYOTA C-HR 2024 BAKAL MUNCUL DALAM VERSI HIBRID, REKAAN MACAM PRIUS

Menjelang September ini, Toyota dilapor akan melancarkan C-HR versi facelift yang hanya akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid sahaja, termasuklah varian plug-in hybrid (PHEV).

Laporan Best Car Web mendakwa, C-HR facelift tersebut akan menjadi model yang sama seperti Prius yang lahir daripada platform TNGA-C namun hanya ditawarkan dengan enjin hibrid semata-mata.

Ini bermakna, tiada lagi penawaran enjin pembakaran dalaman tulen (ICE) 1.8 liter seperti yang dibuat oleh Toyota sebelum ini.

Sama seperti Prius, C-HR facelift ini boleh didapati dengan pilihan enjin 1.8 liter atau 2.0 liter hibrid konvensional, serta varian plug-in hybrid 2.0 liter yang jauh lebih berkuasa, dipadankan dengan pacuan roda depan atau pacuan semua roda E-four.

Laman tersebut turut menyebut ukuran dimensi C-HR facelift ini akan bertambah sebanyak 100 mm untuk jarak antara roda yang menyumbang kepada penambahan ruang kabin yang lebih luas.

Sementara reka bentuk luaran punya banyak diinspirasikan daripada model-model moden Toyota seperti Prius dan Crown.

Toyota C-HR buat kali pertama muncul di pasaran pada tahun 2016, dan ia pernah ditawarkan secara rasmi di pasaran Malaysia pada Mac 2018. – Best Car Web

Google ads
Back to top button