Buletin

TOYOTA COROLLA CROSS HYBRID SUDAH DITAYANG DAN DITEMPAH. HARGA ANGGARAN RM137K

Semakan secara tidak sengaja oleh penulis pada hari ini menunjukkan varian terbaru Toyota Corolla Cross iaitu varian hibrid telah pun ditayangkan secara umum pada laman sesawang rasmi Toyota Malaysia mulai semalam. Tapi seperti biasa Toyota Malaysia hanya memaparkan beberapa maklumat penting sahaja dalam laman rasmi mereka.

Perkara pertama yang menarik perhatian ialah anggaran harganya cuma RM 137,000 ataupun RM8,000 sahaja lebih mahal berbanding dengan varian 1.8V petrol. Ini merupakan penawaran yang sangat kompetitif daripada Toyota dengan kelebihan varian ini dipasang di fasiliti Toyota terbaru di Bukit Raja.

Toyota Malaysia memberi jaminan selama 8 tahun terhadap Corolla Cross Hybrid ini terutama bagi komponen hibrid yang merangkumi bateri sistem hibrid, sistem inverter dan Power Control Unit. Ini membuktikan bahawa sistem hibrid generasi ke 4 yang ditawarkan oleh Toyota sebenarnya sangat lasak dan boleh diharap.

Berbeza dengan pesaing yang lain, bateri sistem dipasang di bawah kusyen penumpang belakang dan bukan dipasang di ruang kargo. Ini memberikan kelebihan kepada Corolla Cross Hybrid dari segi penawaran ruang bagasi yang luas iaitu 440 liter sama seperti varian petrol.

Kedudukan bateri yang rendah dipasang pada lantai platform berhampiran dengan pusat graviti kereta juga akan memberikan kelebihan pada Corolla Cross Hybrid dari segi pengendalian. Berat enjin di bahagian depan akan diseimbangkan dengan berat bateri di bahagian belakang.

Tapi bateri ini dipasang dekat dengan pusat graviti memberikan kelebihan dari segi memn inersia yang lebih rendah. Corolla Cross Hybrid yang dibangunkan dengan cesi TNGA akan menjadi lebih lincah di selekoh, walaupun dipasang dengan bateri sistem dan lebih menjimatkan bahan api berbanding varian petrol.

Toyota Corolla Cross Hybrid juga ditawarkan dengan ciri lain seperti pakej keselamatan Toyota Safety Sense mungkin sama seperti dengan varian V, mode pemanduan ECO, SPORT dan EV sepenuhnya bergantung pada kuasa bateri. Selain gabungan meter analog dan digital 7 inci, sistem amaran titik buta, Rear Cross Traffic Alert, kamera 360 darjah serta sistem Vehicle Telematic System.

Sama seperti varian petrol, Corolla Cross Hybrid ditawarkan dengan 5 tahun jaminan tanpa mengira berapa jarak perbatuan bagi komponen lain. Ia akan ditawarkan dalam 5 warna iaitu Celestite Grey, Red Mica, Nebula Blue, Silver dan Platinum Pearl White

Buat masa ini Toyota Malaysia hanya menawarkan 2 aksesori tambahan dalam pakej pembelian iaitu perakam kamera digital bahagian belakang dan sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Google ads
Back to top button