Artikel Pilihan

KENAPA TOYOTA COROLLA CROSS HYBRID GUNA BATERI NICKEL METAL HYDRIDE?

Sewaktu memandu kereta hibrid dulu, perkara yang menggembirakan penulis ialah penjimatan bahan api yany ditawarkan dan juga tork segera yang dibekalkan oleh bateri sistem. Sekiranya bateri sistem penuh, maka anda boleh mengejar kereta bersaiz 2400cc dengan penuh gaya.

Kalau bateri sistem sudah berkurangan dan perlu dicas, maka anda perlu bergantung harap pada enjin 1500cc Atkinson yang boleh dikatakan agak lemau jugak. Ketika itu kebanyakan pengeluar automotif bergantung pada bateri yang dihasilkan dengan gabungan Nickel-Metal Hydrid atau singkatannya Ni-Mh sebagai bahan kimia utama untuk menyimpan cas elektrik sewaktu brek regeneratif berlaku.

Menyedari mereka perlukan sistem yang lebih berkuasa, Honda memperkenalkan model CRZ yang dinaiktaraf dengan menggunakan bateri sistem daripada Ni-Mh kepada bateri Lithium-Ion yang lebih berkuasa, kerana lithium berupaya menyimpan lebih banyak caj elektrik

Naiktaraf ini menyaksikan model Honda CRZ menghasilkan gabungan kuasa daripada enjin dan motor elektrik yang lebih berkuasa pada 134 kuasa kuda dan 190Nm tork. Secara perbandingan ia ada satu peningkatan yang ketara berbanding dengan versi awal yang menggunakan bateri Ni-Mh yang menghasilkan gabungan kuasa 122 kuasa kuda dan 174Nm tork.

Tapi berbeza dengan peneraju sistem hibrid iaitu Toyota yang terkenal dengan teknologi Hybrid Synergy Drive, Toyota memilih untuk kekal menggunakan bateri Ni-Mh bermula dari model Toyota Prius generasi pertama, kedua, ketiga dan juga keempat. Generasi keempat ini juga ada menawarkan bateri ion lithium 0.75kWh dan bateri Ni-Mh sebesar 1.25kWh.

Bagi model Toyota Corolla Cross dipadankan dengan enjin 2ZR-FXE 1800cc dan motor elektrik yang menghasilkan gabungan 122 kuasa kuda, hampir sama dengan Toyota Prius generasi keempat. Kuasa elektrik pula dibekalkan daripada bateri Ni-Mh yang menghasilkan 202 volt, terdiri daripada 28 modul dan 168 sel. Bagi pasaran Jepun, Corolla Cross turut ditawarkan dalam varian AWD.

AWD adalah penting bagi pasaran Jepun kerana Jepun turut menerima salji sewaktu musim sejuk, dan cengkaman sistem AWD memberikan kelebihan cengkaman berbanding 2WD. Walaupun menggunakan sistem hibrid yang hampir sama dengan Prius, Corolla Cross berbeza dari segi jenis bateri yang digunakan. Prius 2WD dipasang dengan bateri 0.75kWH lithium ion

Bagi Prius AWD-e, ia akan dipasang dengan bateri 1.3kWh Ni-Mh sama seperti yang digunakan oleh Corolla Cross atas satu sebab yang kritikal. Bateri Ni-Mh beroperasi dengan lebih stabil dan tahan lasak dengan perubahan cuaca yang ekstrim seperti di kawasan salji berbanding dengan bateri ion lithium. Bagi pasaran Asia Tenggara, ia akan terdedah kepada suhu tropika yang lebih tinggi dan sekali lagi bateri Ni-Mh lebih sesuai digunakan di kawasan suhu yang tinggi.

Bateri bergantung pada suhu persekitaran sewaktu dicaj atau digunakan oleh motor elektrik dan perlu beroperasi pada suhu yang ideal bagi memastikannya tahan lama. Jika anda perasan pada kereta hibrid, ia akan dipasang dengan kipas yang akan menyedut udara sejuk dari kabin untuk menyejukkan bateri. Jika bateri hibrid ini beroperasi di luar suhu ideal maka ia akan cepat rosak.

Google ads
Back to top button