TOYOTA COROLLA AE86 UNTUK DIJUAL, HARGA RM226,763. BOLEH BELI SUPRA GR BAHARU!!!
Model Toyota Corolla AE86 merupakan antara jentera yang diminati peminat automotif.
Bahkan, banyak jawapan yang akan diperoleh daripada peminat tegar mengapa kenderaan berkenaan digemari mereka.
Begitupun, kemungkinan besar kebanyakkan daripada jawapan yang diberikan kerana meminati siri anime terkenal Initial D.
Siri popular berkenaan mempopularkan Hachi-Roku ataupun diterjemahkan sebagai 8-6 menampilkan peneraju utama memandu jentera hitam putih Panda Trueno.
Bukan sahaja peminat anime, tetapi pelumba drift profesional turut menggemari siri popular tersebut kerana watak Takumi mengendalikan Toyota Corolla AE86 bersahaja menuruni bukit-bukau menewaskan pesaingnya.
Sejak beberapa tahun lalu, jentera sport Jepun termasuk Toyota Corolla AE86 menunjukkan peningkatan harga dalam pasaran.
Apatah lagi jika kenderaan tersebut memiliki perbatuan rendah dan hanya dimiliki seorang pemilik sahaja.
Model Toyota Corolla AE86 yang boleh dianggap sebagai barang rare ini ingin dilepaskan di United Kingdom dengan perbatuan hanya mencecah 24,000 km malah dimiliki seorang pemilik sejak tahun 1984.
Mengikut sejarah selama 37 tahun jentera tersebut, ia bermakna pemiliknya hanya memandu kira-kira 651 km sahaja pada setiap tahun.
Berbekalkan jadual penyelenggaraan penuh dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan, boleh dikatakan ia mampu berfungsi dengan baik sekali.
Ia juga masih mengekalkan sentuhan cat asli malah kalau diperhatikan kemungkinan besar kereta disimpan kawasan berbumbung.
Biarpun enjin 4-GE pada bahagian hadapan jentera ini, tidaklah mengujakan sangat menjana kuasa 130 hp dan tork 147 Nm, ia masih beroperasi dengan lancar.
Harga jentera Toyota Corolla AE86 tersebut boleh tahan, dijual pada harga AS$55,915 (RM226,763). Anda mampu memiliki sebuah Toyota Supra GR baharu!!! – autoevolution