Buletin

TOYOTA GR SUPRA TRANSMISI MANUAL DAH SAMPAI. 382HP, 0-100KM/J 4.4 SAAT, BERMULA RM645K

Selepas dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2019, Toyota GR Supra 2023 kini hadir dengan transmisi manual dan pastinya akan membuatkan peminat teruja dengan model coupe baharu ini.

Harga jualan GR Supra bermula RM645,000 hingga RM655,000 untuk varian automatik. 

Selain tambahan pilihan transmisi manual, jurutera Toyota GR turut memperhalusi maklum balas stereng dan suspensi dengan mengubah suai sesendal penstabil serta menala semula suspensi boleh laras jentera ini.

Selain sistem kawalan casis yang merupakan elemen penting untuk meningkatkan prestasi pengendalian dan keselesaan pemanduan, dinamik pemanduan GR Supra dipertingkatkan lagi dengan Adaptive Variable Suspension dan Electronically Controlled Limited Slip Differential.

Lebih menarik, pemandu juga ditawarkan dengan pilihan menyesuaikan beberapa tetapan untuk mengurangkan campur tangan bantuan elektronik. 

Sebagai sebuah kereta sport, bahagian dalaman GR Supra diserlahkan dengan ciri-ciri seperti upholsteri kulit, paparan heads-up, tempat duduk boleh laras elektrik, cermin sisi elektrokromatik dan sistem audio JBL 12 unit pembesar suara.

Toyota GR Supra 2023 dipasang dengan rim aloi 19 inci yang dibalut tayar bersaiz 255/35 di hadapan dan 275/35 di belakang. 

Keselamatan tetap menjadi keutamaan Toyota untuk kereta berprestasi tinggi di mana ia disertakan dengan Teknologi Toyota Supra Safety (TSS). TSS merangkumi pelbagai sistem keselamatan aktif yang berfungsi untuk membantu memastikan pemandu kekal selamat.

Selain itu, ia turut disertakan dengan ciri-ciri seperti Tyre Pressure Monitoring System, Intelligent Parking Sensor dengan fungsi brek kecemasan, pemantauan titik buta dan Rear Cross Traffic Alert.

Dari segi kuasa, Toyota Supra GR dijana oleh enjin DOHC 24-injap yang mampu menghamburkan 382hp antara 5,800 – 6,500rpm dan tork 500Nm tork dari 1,800 – 5,000rpm.

Kotak gear manual 6-kelajuan itu telah dibangunkan khusus untuk dipadankan denganp restasi enjin 3.0 liter straight six dengan pengecas turbo berkembar.

Transmisi manual 6-kelajuan juga mampu memberikan pemanduan yang lancar dan sporty ketika menukar gear walaupun kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j. 

Pecutan dari 0 hingga 100 km/j untuk varian bertransmisi manual ini ialah 4.4 saat, berbanding 4.1 saat dengan transmisi automatik.

Pelanggan boleh memilih daripada lapan warna yang ditawarkan iaitu merah, kuning, putih, hitam, biru, kelabu, putih metalik dan kelabu matte. 

GALERI

Google ads
Back to top button