Buletin

TOYOTA GR YARIS 2024 DIPERKENALKAN, JANA 304PS, PILIHAN TRANSMISI AUTOMATIK 8-KELAJUAN

Toyota, melalui Toyota Gazoo Racing (TGR), secara rasminya memperkenalkan hot hatch GR Yaris dan bakal didedahkan di Tokyo Auto Salon 2024 yang diadakan hari ini.

Bukan sahaja tampil dengan perubahan baharu berbanding sebelum ini, kereta ini didakwa mempunyai prestasi lebih baik melalui transmisi automatik lapan kelajuan dan digabungkan dengan pacuan empat roda (4WD).

Menurutnya, transmisi ini dibangunkan dengan menggabungkan elemen sukan permotoran dan prestasi tipikal kereta bandar atau lebuh raya.

Sistem ini diuji secara langsung oleh pemandu rali TGR World Rally Team di pelbagai permukaan jalan, seperti salji di Finland, dan diuji dalam perlumbaan Super Taikyu oleh Akio Toyoda atau ‘Morizo’.

Toyota mengatakan bahawa sistem transmisi automatik akan menjadi menyeronokkan seperti menukar gear secara manual.

Walaupun pengeluar mengekalkan enjin 1.6 liter turbo seperti sebelum ini, GR Yaris facelift telah meningkatkan kuasa daripada 272PS kepada 304PS dan tork daripada 370Nm kepada 400Nm.

Bahagian luar turut berubah dengan bahagian bawah hadapan atau bampar mempunyai struktur baharu yang lebih sporty, bukaan liang udara lebih besar untuk penyejukan.

Perubahan juga jelas kelihatan di bahagian belakang dengan bahagian bawah yang direka bentuk semula, untuk mengoptimumkan aerodinamik dan ekzos.

Ciri-ciri seperti ‘Drive Mode’ pula tersedia untuk melaraskan cara pemanduan dengan dapat melaraskan fungsi stereng kuasa elektronik, AC dan powertrain mengikut jenis mod.

Menjengah ke dalam kabin, ia dilengkapi skrin TFT warna penuh 12.3-inci, di mana ia menyediakan maklumat teknikal daripada kereta ini.

Selain itu, kedudukan pemanduan dipertingkatkan dengan menurunkan kedudukan sebanyak 25mm dan keterlihatan ke hadapan telah diperluaskan supaya pemandu mempunyai jarak penglihatan lebih jelas.

GALERI:

Google ads
Back to top button