
TOYOTA GR YARIS RALLY2 TERIMA HOMOLOGASI FIA, PASUKAN LUMBA BOLEH BELI!
Perancangan Toyota di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) memang hebat dan dibuat rapi.
Penglibatan Tommi Mäkinen dan kesungguhan Akio Toyoda sendiri sebagai bos besar Toyota menunjukkan betapa pentingnya projek ini.
Kesungguhan yang ditunjukkan membuahkan hasil selepas Toyota menjuarai empat kali kategori pengeluar sejak 2018 dan disumbang sama banyak oleh Yaris WRC dan GR Yaris Rally1.
Dari rali juga lahirnya GR Yaris yang kini ditawarkan di serata dunia termasuk di dalam negara. Bukan sahaja GR Yaris, jenama GR atau GAZOO Racing itu sendiri membawa keunggulan.
Penglibatan Toyota GAZOO Racing (TGR) bukan setakat WRC malah turut bersaing di dalam Kejohanan Ketahanan Dunia FIA (WEC) melalui jentera GR010 hybrid.
TGR juga berentap di dalam Kejohanan Rali Raid Dunia FIA (W2RC) menggunakan pikap DKR Hilux EVO T1U.
Kereta lumba GR Supra GT4 pula dibangunkan untuk mempromosikan falsafah ever better cars melalui aktiviti permotoran pelanggan.
Kini ada sebuah lagi kereta lumba yang boleh dibeli pasukan rali atau pelanggan umum iaitu GR Yaris Rally2.
TOYOTA GAZOO Racing World Rally Team (TGR-WRT) mengesahkan bahawa GR Yaris Rally2 secara rasminya berada di dalam senarai kenderaan homologasi FIA bermula 1 Januari 2024.
Akio Toyoda yang turut dikenali sebagai Morizo berharap kereta ini akan menjadi langkah pertama dalam membina jambatan di antara model permotoran dan kenderaan produksi melalui perlumbaan rali.
Penawaran ini juga dapat menyumbang kepada meningkatkan lagi pasaran rali dunia. Pensijilan FIA bermakna GR Yaris Rally2 boleh diserahkan kepada pelanggan di serata dunia.
Kereta pertama akan diserahkan kepada ROOKIE Racing dan empat pasukan dijangka menyertai Rallye Monte-Carlo menggunakan GR Yaris Rally2.
GR Yaris adalah kereta sport pacuan empat roda pertama yang dibangunkan khusus oleh Toyota dalam tempoh 20 tahun dan dibuat untuk memenangi WRC.
Ada satu ayat menarik diberikan Toyota iaitu, berbanding sebuah kereta yang dibuat untuk TGR menang, GR Yaris Rally2 dibangunkan untuk pelanggan menang! Di sinilah bermulanya cabaran baharu TGR.
GR Yaris Rally2 pertama kali beraksi di khalayak ramai pada Rali Jepun 2022 apabila Morizo sendiri memandu dan menilai prestasinya.
Sejak itu, TGR menerima banyak maklum balas daripada ramai pemandu yang mengujinya di atas pelbagai permukaan dan keadaan.
Secara keseluruhannya kereta ini telah melepasi 15,000 kilometer jarak perlumbaan termasuk Kejohanan Rali Jepun yang juga menjadi medan ujian di atas jalan raya Jepun.
Proses pembangunan kereta turut memasukkan maklum balas dari pelumba handalan, muda dan baharu serta pelanggan berpengalaman.
Tidak terhenti setakat itu, lebih banyak maklum balas akan dikumpul dari pelanggan di dalam kejohanan seperti WRC untuk menjadikannya sebuah kereta yang lebih baik.
Spesifikasi Toyota GR Yaris Rally2:
Enjin | Jenis | 3 silinder sebaris turbo |
Sesaran | 1,618.2 cc | |
Gerek x Lejang | 87.5 mm x 89.7 mm | |
Penyekat udara | 32 mm mengikut peraturan FIA | |
Transmisi | Kotak gear | 5 kelajuan berjujukan |
Sistem Pacuan | 4WD, LSD spesifikasi lumba | |
Suspensi dan Brek | Depan/Belakang | MacPherson |
Sistem brek | Tanah : 300 mm | |
Tar : 355 mm, 300 mm | ||
Casis | Panjang | 3,995 mm |
Lebar | 1,820 mm | |
Tinggi | Boleh laras | |
Berat | 1,230 kg (termasuk 1 tayar ganti) mengikut peraturan FIA |





