Buletin

SERIBU UNIT TOYOTA LAND CRUISER DITEMPAH DALAM MASA 30 MINIT!

Land Cruiser merupakan model bersejarah dan ikonik buat Toyota. Land Cruiser juga mempunyai reputasi yang baik sebagai kenderaan kerja.

Tidak menghairankan apabila Land Cruiser telah memecah rekod walaupun belum dilancarkan secara rasmi di Jerman.

Pada 21 Disember lalu, Toyota membuka tempahan dalam talian dan dalam masa setengah jam terpaksa ditutup! Keseluruhan kuota 1,000 unit untuk Jerman habis ditempah!

Mereka yang berminat masih mempunyai peluang dengan mendaftar di laman sesawang Toyota sekiranya pelanggan sedia ada membuat pembatalan.

Walaupun dibuka pada Disember 2023, Land Cruiser hanya akan tiba pada suku ketiga 2024 dengan pengeluaran bermula pada Mei.

Sejarah Land Cruiser bermula lebih 70 tahun dengan pelancaran Toyota BJ.

BACA: TOYOTA HILUX Z REVO ROCCO EDITION UNTUK JEPUN, RM155 RIBU

Model terbaru kembali kepada generasi terdahulu dengan gaya retro sambil mengekalkan ciri-ciri yang membentuk jenama Land Cruiser.

Kekal dengan kerangka tangga dan dibangunkan dari pelantar baharu GA-F, keranga itu 50 peratus lebih tegar. Gabungan badan dan kerangka juga 30 peratus lebih tegar.

Buat kali pertama, Land Cruiser menggunakan stereng kuasa elektrik yang mengurangkan hentakan apabila melalui permukaan tidak rata selain pemanduan lebih lancar dan lebih senang dikendalikan.

Meredah laluan off-road yang mencabar, Land Cruiser dibantu oleh Crawl Control, Pembeza Gelinciran Terhad (LSD) dan paparan Multi-Terrain Monitor dan Panoramic Monitor.

Tidak hanya menjual kelasakan, Land Cruiser dilengkapi skrin meter digital saiz 12.3 inci, skrin multimedia 12.3 inci, sepuluh pembesar suara dan kerusi depan dengan fungsi pemanasan dan pengudaraan.

Sebagai model baharu, Land Cruiser menggunakan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense terkini.

Buat permulaan, Land Cruiser pasaran Jerman ditawarkan dalam tiga varian iaitu Tec Edition, First Edition dan Executive.

Tec Edition dilengkapi pemisah batang pengimbang atau (Stabilizer Disconnection Mechanism, SDM).

Fungsi itu membolehkan pemandu menukar tetapan bar antigoleng depan untuk meningkatkan pengendalian di laluan mencabar.

Turut dilengkapi rim aloi 20 inci, kerusi kulit, bumbung panoramik, sistem audio premium JBL dengan 14 pembesar suara dan papar pandu. Varian ini juga boleh dipesan dengan tujuh tempat duduk.

Tec Edition dan Executive secara utamanya dibezakan oleh jenis rim dengan Executive dipasang saiz 18 inci.

Land Cruiser First Edition pula ditawarkan dalam jumlah terhad dan hanya untuk pelanggan yang membuat tempahan semasa tempoh jualan awal.

Varian ini diasaskan dari Tec Edition dan tampil dengan perkakasan khas seperti lampu bulat klasik, rim 18 inci, warna dua tona Sand atau Smokey Blue, riasan pada kerusi depan dan logo First Edition.

Google ads
Back to top button