Buletin

TOYOTA HILUX GR SPORT 2023. PADDLE SHIFTER, LAGI PADU DARIPADA ROUGE, RM160K SAHAJA

Keupayaan Hilux dari pelbagai aspek menjadikan ia trak pikap terlaris di Malaysia selama lebih 20 tahun. Kini, varian Hilux GR Sport ditambah dalam barisan jentera berkenaan yang memanfaatkan pengalaman GAZOO Racing dalam sukan permotoran. 

Sama seperti spesifikasi Hilux Double Cab 2.8 Rogue, model CKD Hilux GR Sport didatangkan dengan gril hadapan baharu bersama bingkai gril dan overfender. 

Tampil sporty, lampu kabus, cermin pintu serta sport bar digelapkan untuk memberi imej lebih berani ditambah penampilan rim aloi 18-inci dan tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18. Angkup  cakera brek hadapan ditampilkan dengan warna merah dan logo GR.

 Hilux GR Sport menawarkan tiga pilihan warna iaitu putih, hitam dan merah metalik dengan sisi badan berwarna hitam dan merah. Terdapat juga grafik di pintu belakang yang diilhamkan daripada kenderaan TOYOTA GAZOO Racing.

Hilux GR Sport akan menggunakan sistem suspensi jenis monotube khas dan coil springs talaan semula untuk memberikan keseimbangan, pengendalian lebih stabil di selekoh dan tindak balas stereng yang tepat.

Ciri eksklusif untuk Hilux GR Sport ialah paddle shifter, kali pertama dipasang pada Hilux untuk memberikan pemandu lebih kawalan. Untuk tampil berbeza berbanding Hilux Rogue, Hilux GR sport didatangkan dengan tempat duduk hadapan yang mempunyai struktur berbeza.

Tempat duduk dibalut material jenis kulit, suede dan red upper bolsters. Seperti varian GR lain, jahitan merah boleh dilihat di banyak kawasan di sekitar kabin. Logo GR turut dipasang pada perehat kepala, butang penghidup enjin serta fob kunci Pintar.

Trak pikap itu menggunakan meter Optitron pada panel instrumen dengan kemasan aksen merah, selain sport paddle aluminium.

Hilux GR Sport dikuasakan oleh enjin diesel turbo 1GD-FTV 4-silinder yang menghasilkan 201hp pada 3,400rpm dan tork 500Nm antara 1,600 hingga 2,800rpm.  Enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik kawalan elektronik 6-kelajuan. Sistem 4×4 boleh diaktifkan dan dinyahaktifkan semasa pemanduan.

Untuk daya tarikan dan kestabilan yang lebih baik, turut disertakan ialah Automatic Limited Slip Differential, Active Traction Control dan rear differential lock. Tidak ketinggalan, sistem keselamatan Toyota Safety Sense (TSS). 

Ciri lain termasuklah kamera undur, sensor ketika mengundur kenderaan, Panoramic View Monitor (PVM), tersedia dengan 4 kamera yang dipasang di sekeliling untuk memudahkan pandangan 360 darjah.

Hilux GR Sport boleh anda beli pada harga RM159,880 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button