TOYOTA KEMBALI SERTAI WRC
Toyota Motor Corporation (TMC) mengumumkan bahawa ia akan kembali menyertai Kejohanan Rali Dunia (WRC) untuk musim 2017. Kali terakhir Toyota bersaing dalam WRC adalah pada tahun 1999.
Penglibatan itu adalah sebahagian daripada aktiviti sukan bermotor yang akan dilaksanakan oleh pihak Toyota Racing, Lexus Racing dan GAZOO Racing.
Toyota bakal menggunakan jentera rali yang dibina berasaskan kepada model Yaris. Ia akan dibangunkan dan diuji oleh Toyota Motorsport GmbH (TMG).
Pengeluar kenderaan gergasi dari Jepun itu melihat sukan bermotor sebagai medium ideal untuk mengembangkan lagi kelompok peminatnya.
Toyota juga berharap aktiviti dalam sukan bermotor itu akan meningkatkan semangat kakitangan dan kemajuan teknologinya. Malah pengalaman dan kepakaran yang diperoleh boleh digunakan untuk membangunkan kereta lebih baik.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan Toyora Racing akan terus bersaing dalam FIA World Endurance Championship (WEC). Ia juga bertindak selaku penyokong kepada pasukan-pasukan yang bertanding dalam acara perlumbaan NASCAR, Super Formula Jepun dan Rali Dakar.
Sementara pasukan Lexus Racing pula akan bersaing dalam perlumbaan Super GT di Jepun dan menyediakan jentera Lexus “RC F GT3” untuk digunakan dalam sukan bermotor di peringkat akar umbi di seluruh dunia.