
FORD F-150 RAPTOR 2016
Jenama peneraju trak di Amerika Syarikat, Ford baru-baru ini memperkenalkan model F-150 Raptor yang dikatakan sebagai trak pikap paling berprestasi tinggi pernah ditawarkannya.
Ford telah membangunkan semula setiap komponen F-150 Raptor bagi menjadikannya trak pikap yang paling lasak, pintar, efisien dan berkemampuan di laluan off-road berbanding model sebelumnya.
Jentera itu dibina menggunakan kerangka besi yang sangat kukuh. Dengan menggunakan badan aloi aluminium, Ford berjaya mengurangkan beratnya sehingga 226kg.
Bagi meningkatkan lagi kestabilannya, F150 Raptor adalah enam inci lebih lebar berbanding F-150 standard. Jentera itu juga menggunakan ekzos berkembar buat pertama kalinya.
Rim bersaiz 17 incinya dibalut dengan tayar BFGoodrich All-Terrain KO2 yang direka khas untuk kegunaan off-road.
F-150 Raptor dikuasakan oleh enjin generasi kedua EcoBoost® bersesaran 3.5 liter yang baru. Ia berupaya menghamburkan kuasa sehingga 411hp dan 588Nm. Kuasa itu sebenarnya tidak jauh beza dengan kemampuan enjin 6.2 liter V8.
Dibina secara eksklusif untuk F-150 Raptor, enjin itu kemudian dipadankan bersama kotak gear 10 kelajuan yang baru. Bagi meningkatkan kemampuan di waktu malam, trak pikap itu turut dilengkapi teknologi kamera tercanggih.
Harus tahu bahawa F-150 Raptor merupakan peneraju kepada teknologi mode pemanduan yang akhirnya membentuk Sistem Pengurusan Muka Bumi (Terrain Management System).
Jadi, tidak hairanlah jika sistem itu membolehkan pemandu memilih mode berdasarkan kepada kondisi sekeliling seperti salji, lumpur, berpasir atau sekadar memandu di atas jalan biasa.
“F-150 Raptor sememangnya menetapkan satu penanda aras yang baru kerana ia lebih baik dari semua segi,” kata Naib Presiden Kumpulan, Pembangunan Produk dan Ketua Pegawai Teknikal Global Ford, Raj Nair.