
TOYOTA LAND CRUISER FJ DIPERKENAL DI JEPUN – ENJIN 2.7L, 161HP, DEBUT DI JAPAN MOBILITY SHOW 2025
Toyota akhirnya memperkenalkan model yang dinanti-nantikan, iaitu Land Cruiser FJ, sebuah SUV kompak yang mengekalkan semangat lasak siri Land Cruiser dalam saiz lebih kecil dan mampu milik.
Tak perlu tunggu lama lagi, model ini akan membuat kemunculan rasmi di Japan Mobility Show hujung bulan ini.
Menariknya, Land Cruiser FJ dibina di atas platform sama dengan Toyota Hilux Champ, namun dengan dimensi lebih padat, sekitar 11-inci lebih pendek daripada Land Cruiser 250.
Ukurannya kini 4,575mm panjang, 1,955mm lebar dan 1,855mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,580mm, menjadikannya lebih lincah di jalan sempit dan laluan mencabar.

Di bawah hud, SUV ini menampilkan enjin 2.7 liter empat silinder yang menghasilkan 161hp dan 245Nm tork, digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa (part-time 4WD).
Kuasa mungkin sederhana, tetapi Toyota menjanjikan ketahanan dan kemampuan off-road yang mengagumkan — seperti DNA Land Cruiser yang sebenar.
Dari segi rekaan, FJ baharu ini mengekalkan gaya retro yang ikonik seperti lampu bulat klasik, garis badan kotak, serta tayar ganti di pintu belakang, seolah memberi penghormatan kepada model FJ40.
Bahagian dalamannya pula ringkas dan praktikal, dengan skrin infotainmen mendatar, tombol gear besar dan panel kawalan yang tahan lasak, sesuai dengan karakter off-road-nya.

Toyota turut menambah elemen modular pada model ini, termasuk panel MOLLE untuk menggantung peralatan, serta bampar depan dan belakang yang boleh ditanggalkan secara berasingan, memudahkan kerja pembaikan selepas aktiviti lasak. Malah, terdapat versi dengan snorkel untuk laluan berair dalam.
Bagaimanapun, menurut jurutera utama Masaya Uchiyama, model ini tidak akan dipasarkan di Amerika Syarikat atau Eropah, sama seperti Hilux Champ. Ia akan ditawarkan terutamanya untuk pasaran Asia dan pasaran sedang membangun.
Toyota merancang untuk melancarkan Land Cruiser FJ secara rasmi di Jepun sekitar pertengahan tahun 2026, sementara model konsepnya bakal dipamerkan di Japan Mobility Show tidak lama lagi.
Menariknya lagi, Toyota turut sedang membangunkan satu lagi model off-road elektrik yang dinamakan Land Hopper, dijangka menawarkan kemampuan merentas laluan ekstrem.
GALERI:











