Motosikal

LAGI IMEJ HONDA CB1000 GT BOCOR, DOKUMEN TERBARU DEDAH 150HP

Baru-baru ini beberapa gambar model akan datang dari Honda yang didakwa sebagai CB1000 GT telah pun bocor yang memaparkan motosikal sport-touring itu. 

Terbaru, beberapa gambar ‘screenshot’ dari rakaman video promo motosikal berkenaan turut bocor dan memaparkan perincian model serba baharu itu dengan lebih jelas.

Untuk makluman, CB1000 GT ini dikuasakan enjin sama yang diguna pakai pada Fireblade 2017 namun telah ditala semula bagi memfokuskan aliran kuasa pada RPM rendah dan pertengahan. Meskipun data kuasa belum didedahkan secara rasmi namun dokumen kelulusan di Australia mendedahkan 110kw (150hp) pada 11,000rpm. 

Sekadar perbandingan, Honda CB1000 Hornet SP (yang turut berkongsi enjin sama) menawarkan 155.5hp manakala CB1000 F menawarkan 124hp. 

Menariknya, dokumen tersebut turut memaklumkan bahawa CB1000 GT ini dilengkapi dengan quickshifter secara standard dan dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan. 

Dalam pada itu, imej yang tertiris tersebut turut mendedahkan kelengkapan yang ditawarkan termasuk fork USD, swingarm aluminium, rim 17-inci, penghadang angin, serta akera brek berkembar dengan kaliper brek radial. 

Bagi pasaran global, CB1000 GT ini bakal bersaing dengan Suzuki GSX-S1000 GX, BMW S 1000 XR, Kawasaki Versys 1000 dan Yamaha Tracer 9 GT. 

Google ads
Back to top button