
TOYOTA, LEXUS HADKAN 1 KUNCI PINTAR SAHAJA UNTUK PEMBELI DI JEPUN
Toyota Motor Corp mengumumkan langkah catuan, di mana setiap pelanggan kereta baharu hanya akan mendapat satu sahaja kunci pintar, manakala kunci mekanikal pula akan diberikan sebagai kunci pendua.
Dalam satu kenyataan, Toyota menjelaskan, “Memandangkan masalah kekurangan semikonduktor masih berterusan, ia merupakan langkah sementara bagi membolehkan kereta dihantar kepada pelanggan secepat mungkin.
“Bagi kunci pintar kedua, kami akan segera menghantarnya kepada pelanggan sebaik sahaja ia siap.
Menurut laporan Asahi Shimbun, ia melibatkan 14 buah model Toyota serta sembilan buah model Lexus.
Sementara itu, laporan Fox Business turut mengesahkan langkah yang sama dipraktikkan untuk para pelanggan di Amerika Syarikat.
“Disebabkan kelewatan rantaian bekalan, Toyota akan membekalkan satu sahaja kunci pintar kepada kenderaan yang dihasilkan di Amerika Utara.
Masalah kekurangan cip semikonduktor di peringkat global telah mengakibatkan kelewatan produksi dan penghantaran kereta di seluruh dunia.
Malah, sebelum ini Toyota turut mengumumkan mereka mungkin tidak dapat mencapai sasaran produksi tahunan seperti yang telah ditetapkan. – Fox Business

