Buletin

TOYOTA NEKAD MAHU CAPAI NEUTRAL KARBON DI EROPAH 2040

Peralihan industri terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV) tidak tertakluk kepada sekadar membina EV semata-mata, akan tetapi ia turut merangkumi perancangan besar untuk mengurangkan emisi karbon termasuklah yang terhasil semasa aktiviti pengeluaran kenderaan.

Menurut Toyota, mereka kini sedang berada di landasan yang tepat untuk mencapai neutral karbon menjelang 2040 di Eropah, dan sedang menuju ke arah 100 peratus pengurangan CO2 pada semua kenderaan baharu di UK dan Eropah menjelang 2035.

Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, Toyota akan menggunakan kombinasi kenderaan elektrik bateri, plug-in hybrid, serta kenderaan hibrid elektrik untuk mengurangkan emisi.

Selain itu, pengeluar Jepun itu merancang untuk menjadikan kesemua fasiliti pengeluaran di Eropah neutral karbon menjelang akhir dekad ini.

Antara langkah yang dibuat termasuklah mengitar semula 90 peratus daripada sisa buangan di fasiliti Deeside, UK untuk menjana tenaga hijau, selain memasang sejumlah besar panel solar yang bersamaan dengan 10 padang bola sepak.

Dalam pada itu, Toyota turut memperlihatkan model konsep C-HR Prologue yang bakal memberikan petanda kehadiran SUV generasi kedua tidak lama lagi. – Motor1

Google ads
Back to top button