
TOYOTA RAV4 2026 KINI HANYA HIBRID, PHEV – JANA 320HP, JARAK GERAK ELEKTRIK 80KM
Toyota RAV4 2026 tampil dengan perubahan besar dan tiada lagi versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya.
SUV terlaris di Amerika Syarikat ini kini ditawarkan secara eksklusif dalam dua pilihan hibrid: hibrid biasa dan plug-in hibrid (PHEV).
Versi hibrid menggunakan enjin 2.5 liter empat silinder bersama motor elektrik. Untuk pacuan hadapan (FWD), kuasa adalah 226hp, manakala versi pacuan semua roda (AWD) dengan motor tambahan di gandar belakang menghasilkan 236hp.

PHEV – yang sebelum ini dikenali sebagai RAV4 Prime, kini berkuasa 320hp (berbanding 302 hp sebelum ini) dan mampu bergerak sejauh 80km secara elektrik sepenuhnya.
Ia turut menyokong pengecasan pantas DC (CCS) pada varian Woodland dan XSE, membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam masa 30 minit.
Keupayaan menunda juga meningkat iaitu sehingga 3,500 paun (1,588 kg) untuk kebanyakan varian AWD dan PHEV, manakala versi FWD dan AWD LE kekal pada 1,750 paun (794 kg).

Rekaan luar dan dalam diperbaharui. Luaran menampilkan gaya lebih moden dengan lampu utama gaya “hammerhead” dan lampu belakang LED baru.
Dalaman pula lebih minimalis dengan paparan skrin lebih besar dan lebih sedikit butang fizikal, tetapi butang kawalan suhu tradisional kini diganti kawalan atas skrin.

Tujuh varian ditawarkan dalam tiga kategori:
- Core: LE, XLE, Limited – hibrid sahaja.
- Rugged: Woodland – AWD standard, gaya off-road, hibrid atau PHEV.
- Sport: SE, XSE, GR Sport – GR Sport tampil lebih agresif dengan tayar musim panas dan rim 20-inci; hanya ditawarkan dengan PHEV.
Harga belum diumumkan secara rasmi, namun dijangka bermula sekitar USD 34,000 (RM160,000) untuk LE dan mungkin mencecah USD 51,000 (RM240,000) untuk GR Sport PHEV apabila mula dijual hujung tahun ini.
- BACA: PELEBARAN KL-KARAK BERMULA SUKU KEDUA 2025; USAHA TANGANI BANJIR DI LPT1 SUDAH DIMULAKAN
- BACA: FOTO INTIP: GEELY GALAXY PHEV JADI TARUHAN BAHARU – JARAK PEMANDUAN 2,100KM, LANCAR TAHUN INI
- BACA: XIAOMI SU7 TERLIBAT ISU BAMPAR – PEMILIK DEDAH REKA BENTUK LEMAH!
- BACA: DUCATI PANIGALE V4, STREETFIGHTER V4 BAKAL DAPAT GEAR AUTOMATIK