
DUCATI PANIGALE V4, STREETFIGHTER V4 BAKAL DAPAT GEAR AUTOMATIK
Penggunaan transmisi automatik semakin popular dikalangan pengeluar motosikal dalam tempoh beberapa tahun ini.
Terbaru, Ducati bakal mengikut jejak Yamaha, KTM, Honda dan BMW dalam penghasilan sistem automatik untuk model akan datang.

Berdasarkan paten yang telah difailkan Ducati, pengeluar motosikal dari Itali itu sedang giat membangunkan transmisi automatik.
Sistem ini mengetepikan penggunaan klac dan pertukaran gear boleh dilakukan dengan hanya menggunakan lever kaki. Namun begitu, penunggang masih boleh menarik klac seperti biasa jika perlu.
Menariknya, paten tersebut menunjukkan Ducati membangunkan dua sistem berlainan namun kedua-duanya menawarkan tujuan yang sama.

Apa yang pasti kedua-duanya mirip sistem yang ditawarkan Honda E-Clutch. Sistem dibangunkan Ducati ini membolehkan penunggang menukar gear tanpa menarik klac.

Namun, lebih menarik perhatian, Ducati berniat untuk menggunakan sistem klac automatik tersebut pada jentera berprestasi tinggi dan perlumbaan. Ini bermakna, Ducati akan memperkenalkan klac automatik pada model popular seperti Panigale V4, Streetfighter V4, Panigale V2 dan Streetfighter V2.