Buletin

XIAOMI SU7 TERLIBAT ISU BAMPAR – PEMILIK DEDAH REKA BENTUK LEMAH!

Xiaomi sekali lagi menjadi perhatian apabila sedan elektrik sulungnya, SU7, mencetuskan kebimbangan terhadap kualiti pembuatan.

Tular di media sosial China, beberapa pemilik SU7 berkongsi gambar bampar hadapan yang kelihatan melengkung, terutama di bahagian berhampiran lampu utama.

Insiden ini muncul seiring dengan gelombang cuaca ekstrem yang melanda beberapa wilayah di China baru-baru ini.

Siasatan dalaman Xiaomi mendapati punca kepada isu tersebut adalah pelbagai, termasuk penggunaan bampar generasi awal yang kurang kukuh, jurang pemasangan tidak konsisten serta pengembangan bahan akibat suhu tinggi.

Seorang pemilik varian SU7 Max turut melaporkan masalah serupa selepas kenderaan dibaiki akibat kemalangan, sekali gus menunjukkan potensi kekangan dari segi reka bentuk.

Walau bagaimanapun, Xiaomi menjelaskan bahawa versi Ultra yang menggunakan bahan lebih berkualiti tidak terjejas oleh isu ini.

Sebagai langkah pemulihan, Xiaomi menawarkan pembaikan percuma melalui talian khidmat pelanggan dan aplikasi rasminya.

Kebanyakan kerja pembaikan dikatakan mengambil masa sekitar satu jam, dan sesetengah pelanggan juga boleh memohon servis di lokasi melalui pasukan mudah alih.

Dalam masa yang sama, Xiaomi turut mengeluarkan garis panduan keselamatan untuk para pemilik SU7 ketika berdepan cuaca buruk seperti hujan lebat dan hujan batu.

Pemandu dinasihatkan supaya berhenti di lokasi selamat dengan lampu isyarat kecemasan dihidupkan serta mengelakkan berteduh di bawah pokok.

Tuntutan insurans berkaitan kerosakan akibat cuaca boleh dibuat secara terus melalui aplikasi Xiaomi Auto, dengan kelulusan pantas daripada syarikat insurans utama seperti Ping An dan PICC. Bantuan tepi jalan 24/7 turut disediakan di seluruh tanah besar China.

Kontroversi terbaru ini menambah senarai cabaran awal yang dihadapi oleh Xiaomi sejak menyertai industri automotif, termasuk perdebatan mengenai prestasi SU7 Ultra dan rekaan sistem saluran udara berkembar.

Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun, pernah menyifatkan tempoh ini sebagai yang paling mencabar dalam sejarah 15 tahun syarikat itu.

Pemerhati industri berpendapat, cabaran seperti ini adalah perkara biasa bagi syarikat teknologi yang baru menjejakkan kaki ke arena automotif. “Tesla juga pernah hadapi masalah serupa di peringkat awal. Yang penting ialah bagaimana Xiaomi menyesuaikan diri dan memperbaiki keadaan,” kata seorang penganalisis.

Meskipun dilanda isu, ramai pemilik SU7 masih bersikap positif. “Kereta jiran saya, Model S tahun 2014, jurang panelnya lebih teruk,” kongsi seorang pengguna di Weibo.

“Yang penting ialah cara syarikat tangani masalah ini.”

Google ads
Back to top button