Buletin

DRAMA DI LITAR SEPANG: SUPERCAR MEWAH TERBABAS, PEMANDU CEDERA

Litar Antarabangsa Sepang sudah lama menjadi lokasi tumpuan utama buat peminat automotif dan pelumba hujung minggu.

Namun, seperti mana-mana medan berprestasi tinggi, risiko tetap mengintai di setiap selekoh. Baru-baru ini, satu insiden membabitkan sebuah supercar mewah, Mercedes-AMG GT R telah terbabas lalu merempuh penghadang keselamatan berhampiran selekoh T15 — salah satu laluan lurus paling laju di Sepang.

Dalam rakaman dashcam yang kini tular di media sosial, kereta itu dilihat mendekati selekoh dengan kelajuan tinggi sebelum terdengar jeritan cemas pemandu, disusuli hentaman kuat dan putaran kereta di kawasan rumput.

Selain itu, tayar kereta turut tercampak jauh, manakala badan kereta mengalami kerosakan hampir menyeluruh.

Difahamkan, kereta tersebut dipandu pada kelajuan sekitar 229 km/j dan mula membrek pada tanda 200 meter, namun sistem brek dipercayai gagal berfungsi dengan baik, menyebabkan impak berlaku pada kelajuan dianggarkan 180 km/j.

Menurut perkongsian di media sosial oleh Azman Nor, individu di tempat duduk pemandu ialah seorang pelumba profesional yang berpengalaman dalam perlumbaan endurance seperti Motul 12 Hours GT3 dan TCR Macau Grand Prix.

Beliau bertindak sebagai pemandu uji ketika insiden berlaku, manakala pemilik sebenar kenderaan berada di tempat penumpang.

Walaupun impaknya ngeri, kedua-dua individu berjaya diselamatkan, satu bukti keberkesanan penghadang keselamatan di Sepang. Namun, pemandu mengalami kecederaan pada tulang belakang dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.

Insiden ini mengundang banyak reaksi daripada komuniti permotoran tempatan. Seorang peminat sukan bermotor, Azad Jasmi, berkongsi beberapa peringatan penting yang patut diambil kira oleh semua.

Bagaimanapun, ia bukanlah sebagai reaksi langsung kepada kejadian ini, tetapi sebagai nasihat umum demi keselamatan bersama.

Antara perkara utama yang disarankan:

  1. Pemeriksaan Sistem Brek: Periksa kondisi brake pad, rotor, dan saluran brek. Kegagalan kecil boleh menjadi bencana.
  2. Sambungan Bahan Api: Pastikan tiada kebocoran fuel line. Bau petrol bukan perkara remeh.
  3. Setup Casis dan Suspensi: Ketahanan bush, damper dan alignment perlu diberi perhatian demi kestabilan ketika mengambil selekoh.
  4. Tayar: Jangan ambil mudah usia dan kondisi tayar. Heat cycle dan tread wear memainkan peranan besar.
  5. Kenali Had Diri dan Jentera: Jangan terlalu yakin. Kuasa bukan segalanya tanpa kawalan.
  6. Wiring dan Battery: Terutama untuk kereta yang telah dimodifikasi, sistem elektrik mestilah kemas dan selamat.
  7. Pantau Suhu: Suhu enjin dan pelincir boleh menjadi petunjuk awal kepada kegagalan mekanikal.
  8. Rujukan Pihak Ketiga: Dapatkan nasihat daripada mekanik atau instructor yang berpengalaman di litar sebelum turun beraksi.

Apa jua jenis kenderaan, semua memerlukan persiapan teknikal yang rapi dan disiplin yang tinggi apabila berada di litar.

“Kita doakan semua yang terlibat dalam kejadian ini berada dalam keadaan selamat, diberikan ketenangan dan kemudahan dalam menyelesaikan segala perkara berkaitan,” tulis Azad Jasmi di Facebook.

“Moga mereka terus kuat semangat, terus belajar, terus berjuang dalam bidang ini. Kita juga doakan kejayaan dan keselamatan untuk semua pemandu-pemandu yang lain, dan semoga komuniti permotoran kita terus matang, profesional, dan saling menyokong.” – Facebook, Oh! Media

Google ads
Back to top button