Buletin

TOYOTA SUPRA KEMBALI KE AMERIKA, SERTAI NASCAR XFINITY SERIES

Toyota Supra walaupun mula diperkenalkan pada tahun 1978 masih lagi disebut-sebut sehingga sekarang. Ironinya produksi Supra ditamatkan pada tahun 2002 selepas empat generasi berada di jalanan.

Sama seperti filem Hollywood popular contohnya Superman yang dibuat semula selepas satu generasi ke satu generasi, model-model kenderaan ikonik juga nampaknya melalui jalan cerita yang serupa.

Toyota Supra bakal kembali dan belum pun model produksi dijual, Toyota mengumumkan bahawa model legenda itu akan digunakan dalam perlumbaan NASCAR Xfinity Series (NXS) musim 2019.

Penyertaan rasmi pertama ialah di litar Daytona pada Februari tahun depan. 

Toyota bekerjasama dengan subsidiarinya iaitu TRD, U.S.A. (Toyota Racing Development) di Costa Mesa, California, dan Calty Design Research, Inc. (Calty) di Newport Beach, California, bagi menghasilkan Supra untuk perlumbaan NASCAR.

Kedua-dua pasukan ini telah pun bekerjasama dalam NASCAR termasuk projek kereta Toyota Camry 2018 yang memenangi kejuaraan 2017 Monster Energy NASCAR Cup Series.

Jika ditanya kenapa Supra NASCAR ini tidak serupa dengan Supra sebenar jawapnya ialah memang kereta NASCAR mempunyai undang-undang tersendiri dan ini adalah Amerika Syarikat di mana melakukan sesuatu perkara dengan berbeza. 

Toyota dan NASCAR adalah sesuatu yang besar di AS. Toyota mula menggunakan Camry dalam NXS sejak tahun 2007 dan memenangi empat kali kejuaraan kategori pengeluar dengan dua kejuaraan kategori pemandu dan 143 kemenangan.

Musim 2019 juga bakal menyaksikan Toyota menggunakan tiga model berbeza dalam ketiga-tiga perlumbaan NASCAR kebangsaan iaitu Camry dalam Monster Energy NASCAR Cup Series (MENCS), Supra dalam NXS dan pikap Tundra dalam NASCAR Camping World Truck Series (NCWTS).

Toyota Supra sebelum ini pernah digunakan dalam perlumbaan di AS dan Jepun dan merupakan kuasa dominan dalam Super GT dan IMSA Camel GT Series pada era 80 an. Supra turut digunakan sebanyak dua kali dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans di Perancis pada era 90 an.

Toyota Supra Gazoo Racing Concept

Satu perkara menarik tentang projek ini ialah, ia sebenarnya telah dimulakan pada 2017 lagi dan patutlah laju semacam saja Toyota mengumumkan kembalinya Supra ke litar lumba Amerika.

Di Jepun kita mungkin boleh saksikan Nissan GT-R, Honda NSX dan Toyota Supra berentap pula!

Google ads
Back to top button