Buletin

TOYOTA YARIS 2018 DILANCARKAN DI INDONESIA – HARGA BERMULA RM67,400

PT Toyota-Astra Motor (TAM) telah pun memperkenalkan model kompak Toyota Yaris facelift ke pasaran Indonesia.

Biarpun menerima penambahbaikan yang ketara pada rekaan dalaman dan luaran, Yaris bagaimanapun masih menggunakan enjin 2NR-FE empat silinder dengan teknologi Dual VVT-i.

Enjin yang turut digunakan pada Vios dan Perodua Myvi itu mampu menjana kuasa sehingga 107PS dan tork 140Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau CVT.

Di republik tersebut, Yaris ditawarkan dalam tiga gred iaitu E, G dan TRD Sportivo yang kemudian menjadi enam varian. Untuk lebih keseronokan memandu, varian TRD Sportivo dilengkapi mode sport/eco.

Toyota juga menawarkan rangkaian sistem keselamatan seperti tujuh beg udara, Vehicle Stability Control (VSC), Hill-Start Assist (HSA), amaran tali pinggang keledar untuk penumpang dan pemandu serta Emergency Brake Signal (varian TRD Sportivo).

Manakala sistem brek ABS, Electronic Brake Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA) didatangkan sebagai ciri standard untuk semua varian.

TAM mensasarkan jualan sebanyak 1,200 unit Yaris sebulan. Di Indonesia, Yaris bersaing secara langsung dengan Honda Jazz, Daihatsu Sirion (Perodua Myvi) dan Suzuki Baleno.

Yaris ditawarkan pada harga bermula Rp 235 juta (RM67,400) sehingga Rp 276 juta (RM79,000) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button