Buletin

PEUGEOT 508 2018 – PUNYA LAH CANTIK, MESTI RAMAI YANG TERGUGAT

Dengan pasaran sedan yang semakin mengecil, bukan mudah untuk mana-mana pengeluar mengekalkan minat pengguna terhadap segmen tersebut.

Namun, Peugeot dilihat cuba untuk memecah kebuntuan tersebut melalui model 508 yang bersaing dengan sedan segmen D seperti Passat, Accord, Camry, Teana dan sebagainya.

Harus diakui bahawa reka bentuk dalaman dan luaran 508 jauh lebih menarik berbanding model terdahulu. Ia kini tampil dengan gayaan fastback yang lebih praktikal dan cantik.   

Peugeot menggambarkan 508 sebagai sebuah coupe rendah bersama praktikaliti jentera lima pintu yang telah dipertingkatkan. Justeru, Peugeot memanggil model ini sebagai fastback coupé-saloon lima pintu. Ini menjadikannya sebagai pesaing terdekat terhadap Audi A5 Sportback. 

Diinspirasikan daripada sebuah sport-coupe, 508 didatangkan dengan tingkap tanpa bingkai.

Pengeluar dari Perancis itu mengesahkan bahawa beberapa enjin baharu akan digunakan. Versi GT dan plug-in hybrid juga bakal menemui pengguna tidak lama lagi.

508 dikuasakan oleh dua pilhan enjin petrol dan empat enjin diesel. Enjin petrol PureTech itu berkuasa 180hp, manakala versi lebih berkuasa dengan 225hp akan digunakan pada varian GT.  

Enjin diesel BlueHDI yang lebih kompleks pula menjanjikan kuasa di antara 130hp hingga 180hp. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

Seperti model-model moden Peugeot, ruang kabin 508 hadir dengan reka bentuk i-Cockpit. Ia nyata menyerlah dengan stereng bersaiz kompak, skrin sentuh bersaiz 19 inci dan heads-up display (HUD). 

Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi ciri Night Vision, Lane Keeping Assist, Extended Traffic Sign Recognition, Active Blind Spot Monitoring dan banyak lagi.

508 akan membuat debut pada acara  Geneva Motor Show 2018. Ia dihasilkan di  kilang Mulhouse, Perancis.

Jualan 508 bakal bermula pada September depan. Harga bagaimanapun tidak didedahkan.

GALERI

 

Google ads
Back to top button