
TUNGGANG BASIKAL ATAS BILAH TURBIN ANGIN
Seorang pelumba basikal aksi lagak ngeri dilaporkan menunggang di atas sebilah turbin angin sepanjang 70.10 meter dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim.
Lapor Daily Mail, Danny MacAskill, 35, dari Dunvegan di Isle of Skye berbasikal di sepanjang bilah turbin yang tinggi di Alveston Wind Park di Gloucestershire.
Aksi itu dilakukan menjelang Persidangan Perubahan Iklim COP26 yang akan berlangsung di Glasgow, dari 1 hingga 12 November depan.
MacAskill menyahut cabaran berani itu dalam usaha menunjukkan sebahagian besar bekalan tenaga elektrik berasal daripada sumber boleh diperbaharui.
Satu klip video yang disiarkan dalam YouTube MacAskill, 23 Oktober lalu menunjukkan lelaki itu berdiri di bahagian atas turbin dengan basikalnya.
Selepas berjaya melaksanakan lagak ngeri itu, MacAskill berdiri di bilah turbin angin dan mengangkat basikal ke atasnya.
“Saya berlakon dalam filem ini untuk COP26 dan menyedari betapa pentingnya tenaga boleh diperbaharui.
“Saya berasa gembira mengetahui tenaga boleh diperbaharui meningkat dan keseimbangan juga berubah. Semoga planet ini akan semakin pulih,” katanya. – UTUSAN
- BACA: MYVI MERAH LANGGAR PENUNGGANG BASIKAL DI JALAN KINABALU DISITA
- BACA: BASIKAL ELEKTRIK SUPER73 DAPAT SENTUHAN JENAMA FESYEN PERIOD CORRECT. 15 UNIT SAHAJA. HARGA RM12,435
- BACA: BASIKAL ELEKTRIK EDISI TERHAD HOT WHEELS X SUPER73-RX. HARGA BERMULA RM21,000
- BACA: PELUMBA AUSTRALIA TERBABAS, HENDAL BASIKAL TERCABUT KETIKA BERLUMBA








