Buletin

MYVI MERAH LANGGAR PENUNGGANG BASIKAL DI JALAN KINABALU DISITA

Polis telah menyita sebuah Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki dan melanggar lari seorang penunggang basikal di Jalan Kinabalu pagi tadi untuk siasatan lanjut. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh memberitahu, pemandu terbabit bagaimanapun dibebaskan polis selepas keterangannya dirakam petang tadi. 

“Pemandu yang terlibat dalam kejadian langgar lari itu berjaya dikesan selepas polis meneliti rakaman video kejadian itu dan menghubunginya.

“Lelaki berusia 22 tahun itu kemudian hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee pada jam 4.45 petang tadi untuk dirakam keterangan oleh polis,” katanya. Polis masih meneruskan siasatan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi Rabu, mangsa yang juga seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat perlanggaran itu. Susulan itu, mangsa yang berusia 33 tahun membuat satu laporan polis di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee.

Berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit yang tular di media sosial itu, mangsa dilihat sedang berbasikal dari arah Cheras menghala ke Jalan Kuching. Namun, apabila tiba di Jalan Kinabalu, dia dilanggar sebuah kereta berwarna merah dari arah belakang.

Pemandu berkenaan bagaimanapun terus memecut tanpa berhenti di tempat kejadian. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button