Buletin

HONDA CIVIC TYPE R 2021 LIMITED EDITION UNTUK DILELONG. BIDAAN DAH CECAH 190K

Salah satu daripada 600 unit jentera Honda Civic Type R 2021 Limited Edition yang baharu diperkenalkan sudah menjengah pasaran kenderaan terpakai di Amerika Syarikat (AS).

Jentera berkenaan sudah menerima bidaan tertinggi sebanyak AS$46,000 (RM190,371) selepas hanya tinggal lima hari sahaja untuk membida kenderaan edisi terhad terbabit.

Ia yang dijual melalui Bring a Trailer merupakan unit ke-3 daripada 600 unit Civic Type R Limited Edition dihasilkan untuk pasaran AS.

Kereta edisi terhad itu memiliki perbatuan 40 km sahaja, dilengkapi literatur pengeluar, pelekat pada tingkap, laporan Carfax dan pemilikan North Carolina.

Semua unit Honda Civic Type R 2021 Limited Edition mendapat sentuhan warna kuning (Phoenix Yellow), rim khas 20 inci BBS dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 245/30.

Berbanding Civic Type R asas, versi edisi terhad itu dilengkapi sistem suspensi diselaraskan khas dengan spring, bushing, anti-roll bar serta sistem brek hadir dengan kaliper dari Brembo.

Ruang dalaman pula, ia hadir dengan kerusi sport dengan sentuhan warna merah dan stereng dibaluti Alcantara dan tombol gear baharu.

Ciri-ciri menarik lain termasuk kawalan iklim automatik, kawalan cruise, tombol gear aluminium, sistem bunyi 12 pembesar suara dan sistem infotainmen dengan navigasi serta keserasian telefon pintar. – carscoops

GALERI

Google ads
Back to top button