
ULANG TAHUN KE 75 UNTUK MODEL VOLKSWAGEN TRANSPORTER YANG LAGENDA
Volkswagen Commercial Vehicles meraikan ulang tahun ke 75 model Microbus VW. Ianya merupakan kenderaan komersial dengan pengeluaran terpanjang di Eropah. Untuk rekod, model Transporter atau pun juga dikenali dengan T1 yang pertama t telah pun dikeluarkan secara rasmi pada 8 Mac 1950.
Sejak dari itu, lebih daripada 12.5 juta model Microbus VW ini telah dihasilkan melalui kilang pemasangan di Hanover dari tahun 1956. Ini menjadikannya sebagai kenderaan komersial Eropah yang paling berjaya sepanjang zaman. Ia telah menjadi kenderaan pilihan selama bertahun-tahun. Daripada T1 hingga T6.1 generasi keenam, satu platform sentiasa menyediakan asas untuk semua derivatif – daripada van kepada ikon van perkhemahan.

Dan untuk tahun 2025 ini, barisan produk Transporter baharu akan dilancarkan sebagai siri model ketiga. Oleh itu, rangkaian VW Bus semasa terdiri daripada tiga tonggak dengan enam model asas: Multivan dan California, ID. Buzz dan kenderaan komersial ID. Buzz Cargo, serta Transporter dan Caravelle. Kesemua model ini membawa DNA T1 yang terkenal pelbagai fungsi dalam reka bentuk dan susun atur mereka sehingga hari ini.

Era T1 – 1950 hingga 1967
Pada ketika ini Volkswagen baharu sahaja memulakan produki model Transporter yang digelar sebagai Type 2. Tiada jangkaan meninggi walau pun pengeluaran model Type 1 (Beetle) mula meledak di serata dunia. Namun ianya pantas menjadi pilihan dek kerana perkembangan ekonomi dunia yang berkembang pesat dan memerlukan sebuah van yang mampu milik.
Versi pertama T1 ini tampil dengan panjang 4.10 meter dan rekaan van panel tanpa tingkap dan mempunyai ciri unik dengan cermin di bahagian hadapan terpisah. Ia menggunakan enjin yang diambil daripada model Beetle dengan mampu memecut sehingga 80 km/j sebelum ditala semula enjin untuk membolehkan kuasa sehingga 44 PS diperoleh dan kelajuan maksimum sehingga 105 km/j.
Pada Oktober 1962, unit kesejuta telah pun dihasilkan dan hayat T1 ini tamat pada tahun 1967 digantikan dengan model T2. Pun begitu, kilang di Brazil masih lagi menghasilkan T1 ini sehingga 1975 atas faktor permintaan yang masih lagi tinggi.

Era T2 – 1967 hingga 1979
Generasi kedua T2 ini meneruskan legasi kegemilangan model sebelumnya dan ianya cukup terkenal sebagai campervan. T2 ini juga boleh dilihat dengan banyak ketika festival Woodstock yang cukup terkenal di era tersebut.
T2 ini mempunyai ciri yang tersendiri. Berbanding rekaan menegak berbentuk V diantara lampu hadapan yang bulat kini tampil dengan reka bentuk mendatar untuk memberikan visual yang lebih lebar dan tiada lagi pemisah cermin di bahagian hadapan untuk membuatkannya kelihatan lebih besar dan luas. Sejumlah 2.2 juta ini model T2 ini telah dihasilkan.

Era T3 ke T6.1 – 1979 hingga Sekarang
Generasi model Volkswagen Transporter ini terus berkembang dengan penampilan dan ciri yang lebih moden seiring peredaran zaman dengan bermulanya model T3 pada tahun 1979 sehinggalah ke model terkini T6.1. Dan buat pertama kalinya model T4 menyaksikan perubahan kedudukan enjin dari belakang ke hadapan bagi membolehkan lebih ruangan bagasi di bahagian belakang.
Kini, legasi model Transporter ini diteruskan dengan pengenalan model elektrik sepenuhnya, ID.Buzz / ID.Buzz Cargo yang lebih moden dan juga canggih menandakan legasi ini akan berterusan sehingga ke 100 tahun lagi.
BACA : VOLKSWAGEN ID.BUZZ GTX DIPERKENALKAN. VERSI VAN ELEKTRIK YANG LEBIH BERKUASA
BACA : VOLKSWAGEN DEDAH VAN ELEKTRIK ID.BUZZ. BAKAL JADI RETRO MASA DEPAN MACAM TRANSPORTER(T1)

