UNITED AIRLINES MAHU BELI 14 PESAWAT SUPERSONIK OVERTURE. SAN FRANCISCO KE JEPUN HANYA 6 JAM
Syarikat penerbangan United Airlines dilapor merancang untuk membeli 14 pesawat daripada firma Boom Supersonic. Langkah itu dilihat mampu menghidupkan semula perjalanan udara berkelajuan tinggi selepas perkhidmatan Concorde ditamatkan pada 2003.
Berdasarkan kepada persetujuan yang telah dicapai, United Airlines akan membeli pesawat supersonik buatan Boom yang dinamakan Overture sebaik sahaja jet tersebut memenuhi syarat keselamatan, pengendalian dan penyelenggaraan.
Ia mensasarkan untuk mula membawa penumpang pada 2029, kata kedua-dua syarikat dalam satu sidang akhbar bersama Khamis lalu.
Persetujuan itu membabitkan 15 pesawat supersonik dan pilihan untuk United Airlines membeli 35 lagi pesawat, kosnya bagaimanpun tidak didedahkan.
“Ia adalah idea menarik tetapi banyak persoalan masih belum terjawab,” kata pakar firma perunding AIR, Michel Merluzeau.
Beliau menganggarkan kos pembangunan jet komersial baharu boleh mencecah antara AS$10 bilion (RM41.2 bilion) hingga AS$15 bilion (RM61.9 bilion).
“Kita perlu bersikap realistik tentang ini,” tambahnya yang menganggap tahun 2035 atau 2040 sebagai tarikh lebih munasabah untuk perkhidmatan komersial Overture.
Pesawat buatan Boom itu berupaya terbang dua kali ganda lebih laju berbanding pesawat komersial utama dalam pasaran ketika ini.
Overture dikatakan mampu terbang dari Newark ke London (5,500 kilometer) dalam masa hanya tiga jam setengah dan enam jam untuk penerbangan dari kota raya San Francisco ke Tokyo (8,200 kilometer), berbanding 10 jam jika menaiki pesawat biasa.– AFP