
VARIASI MODIFIKASI HONDA CIVIC DI SEMA 2016
Berlangsung sekarang di Las Vegas, Amerika Syarikat acara Specialty Equipment Market Association (SEMA 2016) mengetengahkan jentera modifikasi yang terbaik.
Antara yang mendapat perhatian ialah ruang pameran Honda. Pengeluar tersebut menampilkan barisan model Civic yang menarik di bawah satu bumbung. Antara yang menarik perhatian pastinya prototaip Civic Type R, didatangkan terus selepas membuat debut di Paris baru-baru ini.
Prototaip  Honda Civic Type R 2017
Jentera tersebut memberi bayangan ke atas gayaan Civic Type R generasi seterusnya yang dijangka dilancarkan tahun depan. Ia dibina dengan perkadaran badan yang rendah dan lebar bersama rekaan serta modifikasi untuk menambah baik aspek aerodinamik.
Badannya dibalut dengan cat kemasan aluminium yang unik. Fascia hadapan nampak agresif dengan splitter gentian karbon dan kemasan berwarna merah yang sporty. Lampu utama LED Â digelapkan. Jentera itu turut dipasang dengan rim aloi berwarna hitam berkilat bersaiz 20 inci.
2017 Honda Civic Hatchback/Honda Factory Performance (HFP) Concept
2017 Civic Hatchback menyertai  2016 Civic Sedan dan Coupe sebagai model ketiga dalam barsisan model Civic generasi kesepuluh. Ia menggabungkan gayaan Civic Euro, hatchback lima pintu dan teknologi enjin turbo pancitan terus.
Civic Hatchback direka untuk pelanggan yang mahukan Civic lebih mahal, sporty dan versatil. Model hatchback ini didatangkan dengan aksesori Honda Factory Performance (HFP) seperti spoiler, rotor brek, karpet lantai, emblem dan rim aloi HFP bersaiz 19 inci berwarna hitam.
2016 Honda Civic Coupe GRC Competitive Race Car
Baru sahaja selesai menamatkan saingan musim terakhir 2016 Global Rallycross, jentera ini hadir ke SEMA dalam keadaan berselut. Dibina di atas casis 2016 Civic Coupe oleh pihak Olsbergs MSE (OMSE) dengan bantuan teknikal Honda Performance Development (HPD), jentera Civic Red Bull GRC mampu menjana kuasa lebih 600hp.
2017 Honda Civic Coupe Racing Concept
Pasukan reka bentuk dan jurutera yang bertanggungjawab mambangunkan Civic Coupe generasi ke-10 turut terlibat dalam menghasilkan jentera ini. Dibina bersama kerangka keselamatan spesifikasi FIA, 2016 Coupe Racing Concept bersedia untuk bersaing dalam acara perlumbaan endurance di dalam dan luar negara. Ia bakal melakukan debut dalam acara USAF 25 Hour of Thunderhill pada 3-4 Disember depan.
2016 SEGA Sonic Civic Sedan
Ubah suai ini mengambil inspirasi permainan video klasik Sonic the Hedgehog. Fox Marketing Cars yang berpangkalan di York, Pennsylvania mengetuai kerja-kerja ubah suai tersebut.
Ia merangkumi tayar dan rim khas, bahagian luaran dengan vinil rekaan Sonic the Hedgehog dan skim warna. Ruang kabin pula dipasang dengan tempat duduk dibalut kulit berwarna biru dan sulaman logo ulang tahun Sonic the Hedgehog yang ke-25.
2016 Honda Civic Coupe / MAD Industries
MAD Industries Civic menampilkan versatiliti Civic Coupe. Dicat dengan BASF R-M Waterborn System berwarna biru dan hitam, lengkap bersama kesan gentian karbon, ekzos tunggal dan Spec R wing, MAD Industries Coupe memang menarik perhatian sesiapa sahaja.
Jentera ini turut menggunakan Eibach Pro Kit Performance Springs dan rim tempaan “rotiform” QLB bersaiz 19 inci yang dibalut dengan tayar Toyo Proxes T1R berprestasi tinggi.