Buletin

RENAULT CAPTUR – CROSSOVER SEGMEN B PALING LARIS DI EROPAH

Renault Captur merupakan sebuah model crossover yang cukup bergaya dan sesuai untuk kegunaan warga kota yang rata-ratanya inginkan sebuah kenderaan yang kompak dan mudah di bawa kemana-mana.

Konsep crossover ini sebenarnya sudah agak lama bertapak di Malaysia. Bagi yang tidak faham apa itu crossover, dengan bahasa mudahnya ia bermaksud dua kategori kenderaan digabungkan menjadi satu unit.

Antara model crossover yang pernah dipasarkan di Malaysia ialah Renault Scenic RX4, Volvo XC70 Cross Country, Suzuki SX4 dan beberapa lagi model lain. Itu belum campur Mitsubishi Delica 4×4 lagi.

Kesemua model yang disebutkan menggunakan platform asal sebelum dinaiktaraf dengan memasukkan beberapa elemen SUV atau MPV agar menjadi lebih rugged. Ada juga yang turut dilengkapkan dengan fungsi pacuan semua roda.

Renault-Motorsports-DNA -campaign-mekanika (3)

Namun begitu tentu sekali ia tidak akan setanding pacuan empat-roda sebenar tetapi untuk kegunaan ringan ataupun meredah banjir kilat di Kuala Lumpur, ia sememangnya cukup sesuai. Kelegaan bumi yang ditingkatkan juga merupakan satu kelebihan kerana anda mampu melihat dengan lebih jelas sewaktu memandu berbanding kereta-kereta penumpang biasa.

Gabungan SUV dan palform Renault Clio telah menghasilkan Captur. Malah kami juga merasakan ia lebih elegan selain fungsi keseluruhan yang telah dinaiktaraf. Ia bagaikan sebuah SUV tetapi pada masa yang sama mempunyai kelincahan sebuah hatchback yang sporty.

Sterengnya pula cukup responsif dengan radius pusingan 10.42 meter. Ia dipasangkan dengan enjin 4 selinder 1.2 liter turbo. Bekalan 120 hp dan 190 Nm tork pada 2,000 rpm cukup gagah untuk sebuah crossover kompak sepertinya.

Renault Captur ini juga menawarkan ruang but belakang 377 liter yang sudah mencukupi untuk membeli-belah barangan seharian. Lagipun rasanya tidak orang kita yang ingin menggunakan kenderaan seumpama ini untuk jarak jauh. Sesekali ingin ke Pavilion ataupun Publika mungkin sesuai.

Walaupun dari luar ia kelihatan seperti sebuah SUV, sebenarnya banyak elemen MPV yang diterapkan pada model ini. Bahagian papan lantai dalam but Captur ini contohnya boleh dibuka dan ditanggalkan untuk menambah kapasiti bagasi kepada 455 liter.

captur-boot

Apa? Belum setanding dengan Proton Persona baru? Tidak mengapa kerana tempat duduk belakangnya juga boleh dilipat turun sepenuhnya bagi menambahkan lagi kapasiti bagasi kepada 1,235 liter! Mesin basuh automatik 8 kilogram? Sumbat saja bang, tak ada masalah.

Perehat tangan pemandu pada bahagian tengah (ditawarkan sebagai pilihan) juga berfungsi sebagai konsol tengah. Ruang barangan pada papan pemuka juga mudah diakses oleh pemandu tanpa sebarang halangan. Kedudukan pemandu yang lebih tinggi berbanding Clio biasa membuatkan anda merasa seperti sedang memandu sebuah 4×4.

Sebagai SUV kacukan, kelajuan bukannya matlamat utama model ini. Tork yang tinggi sudah mencukupi untuk menggerakannya pantas ke hadapan. Kami ada idea untuk menaikkan lagi imej SUV pada model ini dengan cara cukup mudah. Pasang rak kargo dibahagian atas (rak basikal pun boleh), tow bar di belakang, dan siap.

Anda kini sudah mempunyai kenderaan yang sesuai untuk kegunaan off-road ringan ataupun berkelah di tepi pantai Port Dickson.

Sebagai sebuah model yang dikira premium di negara kita, semestinya Renault sudah melengkapkannya dengan pelbagai ciri tambahan mengikut kehendak pasaran. Antaranya ialah, sistem cruise control dengan speed limiter dan fungsi bantuan hill-start (dulu fungsi ini cuma boleh dapat pada Land Rover Discovery saja tau).

Renault-Motorsports-DNA -campaign-mekanika (2)

Untuk penjimatan bahan api ia turut dilengkapkan dengan fungsi start/stop tetapi semestinya ia tidak dapat dilihat. Sajian mata sebenarnya terletak pada skrin sentuhan bersaiz 7 inci MediaNav dengan pelbagai fungsi (kemudahan besar jika anda pemandu Uber). Jika nak diterangkan satu persatu ciri-ciri dalaman memang panjang. Nanti jadi macam katalog jualan kereta pula.

Secara keseluruhan Captur merupakan satu alternatif untuk mereka yang mahukan sebuah crossover yang lain dari yang lain. Dengan ciri SUV yang ada padanya sekali sekala masuk lubang pun tak adalah sakit kepala sangat.

Captur tidak mempunyai banyak saingan di Malaysia, jika adapun cuma dari model Ford Ecosport, HR-V dan Mazda CX3. CX3 mempunyai kelebihan untuk pengguna yang inginkan sebuah kereta dari Jepun tetapi bagi peminat kereta Continental, Renault Captur adalah pilihan yang sukar ditolak.

Semua kereta boleh digunakan untuk pergi berkelah atau berekreasi tetapi dengan Captur, anda akan melakukannya dengan bergaya.

Buat masa ini, TC Euro Cars sedang mengadakan promosi rebat RM8,000 dengan penyelenggaraan percuma untuk 3 tahun (atau 60,000km).

Menarik juga ni!

Google ads
Back to top button