Buletin

VAUGHN GITTIN JNR DRIFT DI NURBURGRING GUNA MUSTANG 900 HP!

Satu perkara tentang sukan di Amerika Syarikat ialah bagaimana ia diposisi dan dipasarkan. Cara pertandingan dianjurkan ibarat sebuah pesta dengan pelbagai hiburan sampingan.

Kiranya dua dalam satu, hiburan pun dapat, aksi persaingan pun dapat.

Kadang-kala pendedahan lebih penting daripada pencapaian. Ken Block misalnya tidak menyertai kesemua pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) tetapi pendedahan yang diterimanya begitu besar.

Kemalangan dalam perlumbaan pun dapat perhatian. Jadi bolehlah dikatakan Amerika Syarikat memang bijak bestari dalam memasarkan sesuatu perkara.

Idea pelik tapi bernas terbaru yang datang daripada atlet Amerika Syarikat ialah apabila Vaughn Gittin Jnr melakukan aksi drift di Nürburgring Nordschleife, Jerman.

Bukan drift depan pintu masuk tetapi di dalam litar berjarak 20.7 km. Menariknya litar Nürburgring adalah kawasan larangan untuk drift dan ini adalah kali pertama aksi tersebut dilakukan sepenuhnya dalam litar.

Boleh tahan gila sebab jaraknya yang panjang.

Gittin Jnr menggunakan kereta Ford Mustang RTR Drift dikuasakan oleh enjin Ford Performance 5.0 Aluminator XS dengan 900hp!

Biasanya jika beraksi di Nürburgring fokus utama pemandu ialah untuk mencatat masa tetapi dalam kes ini, menikmati selekoh-selekoh yang ada.

Dalam seronok menikmati selekoh, Gittin Jnr masih lagi berjaya mencecah 240 km/j dan menggunakan tiga set tayar serta memecut dengan maksimum gear enam semasa menggelungsur ke dalam selekoh.

Berikut ialah perkara penting dalam aksi drift Gittin Jnr di Nürburgring:

  • Kuncian stereng dinaikkan kepada 65 darjah
  • Tiga set tayar Nitto digunakan untuk menghabiskan litar berjarak 20.76 km
  • Sebuah dron rosak semasa proses rakaman
  • Kelajuan maksimum dicapai ialah 241 km/j dan terhad disebabkan tetapan gear
  • Enjin 5.0 liter menggunakan Vortech JL Trim Supercharger yang mampu menghasilkan 700-900 hp berdasarkan tetapan
  • Enam mikrofon dipasangkan di dalam kereta bagi merekodkan segala bunyi yang kedengaran
Google ads
Back to top button