
VOLKSWAGEN ATLAS – SUV 7 TEMPAT DUDUK UNTUK PASARAN AS
Volkswagen baru sahaja melancarkan model SUV khas untuk pasaran Amerika Syarikat (AS). Dikenali sebagai Atlas, SUV tujuh tempat duduk itu dipasang di kilang Volkswagen di Tennessee, AS.
Ia menjadi model Volkswagen paling besar dan mantap pernah dibina di AS. Dihasilkan di atas platform Modular Transverse Matrix (MQB), Atlas mengekalkan DNA rekaan Volkswagen yang biasanya tampil dengan perkadaran klasik dan garis badan yang kemas.
Atlas ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu TSI turbo bersesaran 2.0 liter berkuasa 238hp atau VR6 3.6 liter (280hp). Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menggunakan pacuan hadapan atau semua roda 4Motion untuk varian VR6.
Bahagian hadapan Atlas diserlahkan menerusi lampu utama petak dan lampu nyalaan siang (DRL) LED.
Ruang kabin Atlas mampu memuatkan tujuh orang penumpang dan kargo dengan selesa. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat dengan mudah dan mesra pengguna. Reka bentuk Volkswagen Digital Cockpit pula membolehkan pemandu memilih bagaimana mereka ingin melihat informasi kenderaan.
Sistem Volkswagen Car-Net® terdiri daripada pelbagai teknologi ketersambungan seperti App-Connect. Ia menawarkan integrasi dengan tiga platform telefon pintar utama – Apple CarPlay™, Android Auto™ and MirrorLink®. SUV itu turut dipasang dengan sistem audio premium Fender bersama 12 unit pembesar suara.
Sebagai sebuah SUV keluarga, Atlas padat dengan rangkaian sistem keselamatan. Ini termasuklah Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Warning and Autonomous Emergency Braking (Front Assist), Blind Spot Monitor dengan Rear Traffic Alert; Lane Departure Warning (Lane Assist) dan Parking Steering Assistant (Park Assist).










