Artikel Pilihan

VOLKSWAGEN GOLF MK5 R32. LAYAK ATAU TIDAK MENGGUNAKAN NAMA R32 ?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bila kita sebut tentang R32, apa yang bermain di fikiran ramai orang adalah Nissan Skyline GTR R32. Namun ada sebuah jentera dari Jerman yang turut menggunakan nama R32. Jentera yang dimaksudkan adalah Volkswagen Golf MK5 R32.

Sebenarnya varian Volkswagen Golf pertama yang menerima nama R32 adalah varian MK4 R32. Volkswagen Golf MK5 R32 meneruskan kesinambungan nama ini dan menjadi model terakhir Golf yang menggunakan nama ini. Anda tidak lagi nampak nama R32 pada jentera Volkswagen Golf MK6 dan juga MK7.

Jentera Volkswagen Golf MK5 merupakan jentera “Flagship” dari Volkswagen. Jentera inilah yang menaikkan nama Volkswagen di serata dunia dimana ia hampir sempurna dari segenap aspek. Kuasa, pengendalian, saiz yang kecil dan harga yang berpatutan. Varian R32 pula berada di tempat tertinggi dalam hierarki keluarga MK5 ini.

Jentera R32 ini menerima enjin 6 Silinder VR6 berkod EA390 BUB dan mempunyai sesaran sebesar 3,189cc(3.2L). Binaan blok enjin ini adalah daripada “Cast Iron”. Konfigurasi VR6 ini juga unik dimana darjah kecondongan diantara silinder adalah 15 darjah sahaja. Oleh yang demikian, kedudukannya adalah sangat rapat dan tidak memerlukan dua kepala silinder.

Bahagian dalaman enjin ini menerima set “Crankshaft” yang diperbuat menggunakan teknik “Die-Forged Steel” bersama 7 “Main Bearing”. Nilai Bore x Stroke adalah 84.0mm x 95.9mm. Nilai Stroke adalah lebih tinggi dan menjadikan konfigurasi enjin ini sebagai enjin “Undersquare”. Sekiranya dibahagikan, isipadu setiap silinder adalah 531.5cc setiap silinder.

Unit kepala silinder diperbuat daripada “Alloy Alumunium”. Isinya adalah 4 injap setiap silinder menjadikan jumlah keseluruhan adalah 24 injap. Konfigurasi “Camshaft” adalah DOHC dan mempunyai 12 “Lobe” bagi setiap “Camshaft”. Ia juga dilengkapi dengan sistem “Variable Valve Timing” pada kedua-dua “Intake” dan “Exhaust”. Nisbah mampatan enjin ini berada pada kadar 11.3:1.

Sistem bahanapi enjin ini menerima sistem “Multipoint Fuel Injection” yang dikawal secara elektronik. Sistem yang tradisional jika dibandingkan dengan sistem “Direct Injection”. Senang jaga dan tidak ada masalah “Carbon Build Up”. Sistem masukan udara dikawal oleh “Throttle Body Drive by Wire” bersama “Electronic Controlled Variable Intake Manifold”. Keseluruhan operasi enjin dikawal oleh ECU Bosch Motronic ME 7.1.1.

Hasilnya ? 247hp pada 6,300rpm dan daya kilas sekuat 320Nm pada 2,500-3,000rpm. Kuat ni Tuan-Tuan. Enjin ini adalah enjin “Naturally Aspirated”. Tiada pendesak turbo mahupun “Supercharger”. Kuasa yang keluar adalah “Pure Power” daripada enjin ini tanpa apa-apa bantuan.

Kuasa yang dihasilkan ini kemudiannya dihantar ke kotak gear DSG 6-Kelajuan. Umum mengetahui bertapa cepatnya kotak gear ini beroperasi. Oleh yang demikian, kuasa yang dihamburkan enjin ini dapat dilepaskan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Tidak terhenti disitu, kuasa yang dihamburkan kemudian melalui sistem pacuan semua roda 4Motion. Sistem 4Motion ini menggunakan unit “Haldex” dimana ia mengawal penghantaran kuasa ke tayar hadapan dan belakang “On Demand” seperti sistem “Quattro” pada Audi dan 4Matic pada “Mercedes Benz”.

Enjin besar, NA, kotak gear DSG dan pacuan semua roda. Hasil gabungan ini mampu memacu jentera ini dari 0-100km/h dalam hanya 6.2 saat dan kelajuan tertinggi adalah 250km/h dengan sekatan elektronik. Laju ni Tuan-Tuan.

Dah laju, mestilah “Stopping Power” pun kena kuat. Jentera ini dilengkapi dengan set rim bersaiz 18 inci. Di dalam set rim yang besar ini, terdapat sistem brek 1 piston pada bahagian hadapan bersama rotor bersaiz 345mm. Brek belakang pula menerima set brek 1 piston bersama rotor bersaiz 310mm. Set brek ini turut mempunyai sistem ABS dan cukup untuk menghentikan jentera seberat 1,594kg ini.

Dah habis bab kuasa, kita pergi bab lain pula.

Dari segi chassis, jentera ini menggunakan platform PQ35. Ketegaran chassis jentera ini tidak perlu dipertikaikan lagi apabila ia menerima pengiktirafan 5 Bintang EuroNCAP. Keputusan ujian yang mengagumkan ini juga dibantu dengan set 6 beg udara beserta sistem “Electronic Stability Program”(ESP).

Bahagian dalaman pula dilengkapi dengan set “Sport Bucket Seat” yang sememangnya sangat membantu memegang badan pemandu ketika pemanduan laju di jalan yang berliku. Selain itu, jentera ini menerima set pemain audio RCD500 bersama 10 unit “Speaker” bersama “8-Channel 250W Analog Amplifier”. Roda Stering mempunyai butang kawalan audio dan MFD. Tidak dilupakan “Emblem” R32 pada bahagian bawah roda stering. Sistem pendingin hawa menerima kawalan “Dual Zone”. Walaupun diklasifikasikan sebagai jentera sukan, pihak Volkswagen masih tidak mengenepikan ciri-ciri ergonomik untuk kesesaan pemandu dan penumpang.

Bercerita tentang keselesaan, sistem suspensi jentera ini ditala semula oleh pihak Volkssagen dan talaan yang dilakukan adalah berlainan dengan varian Golf GTi. Hal ini kerana, kapasiti enjin yang besar bersama sistem pacuan semua roda secara tidak lngsung menambah berat jentera ini. Oleh yang demikian, “Spring Rate” untuk jentera ini adalah lebih tinggi dan ianya lebih keras. Namun itulah yang membantu jentera ini menjadi lebih stabil apabila dipandu laju di jalan lurus mahupun selekoh. “Firm & Solid”.

Dah habis bahagian teknikal. Kita masuk pula bab lain.

Bab lain yang dimaksudkan adalah mungkin ramai yang tidak tahu. Sebenarnya produksi jentera ini adalah terhad. Mengikut sumber, terdapat kira-kira 10,062 unit sahaja di dunia ini. Angka ini menjadikan jentera ini lebih “Rare” dari Honda FD2R Nissan Skyline GTR R32. Kenapa saya pakai jentera ini sebagai perbandingan ? Sebab 2 jentera ini lah yang selalu disebut-sebut oleh rakyat Malaysia dan mempunyai kluster mereka tersendiri.

Di Malaysia, saya tidak pasti berapa jumlahnya. Namun pihak Volkswagen Malaysia pernah membawa masuk jentera ini pada tahun 2007 dan dijual pada harga RM302,618.50. Pangkal 3 harganya. 14 tahun lepas pulak tu.

Sekarang harganya dijual sekitar RM150,000. Mungkin tidak ramai peminat bagi jentera ini. Lebih-lebih lagi dengan harga cukai jalannya di Malaysia sekitar RM2,980.50 setahun. Namun jentera ini tetap mempunyai peminatnya tersendiri.

Jangan bandingkan kuasa kuda dengan jentera berenjin turbo. “Feeling” bawa enjin NA ni lain macam. Sebabtu mat saleh selalu cakap “No Replacement For Displacement”. Respon yang diberikan jentera ini cukup syahdu disamping bunyi 6 silinder yang dinyanyikan oleh ekzos. Sungguh merdu.

Layak atau tidak jentera ini menggunakan nama R32 ? Jawapannya adalah layak. Jentera ini berada pada kelas tersendiri. Jentera ini juga sesuai dijadikan “Collector Item”. Sekiranya anda berfikir untuk memiliki jentera ini, usah gusar dan risau.

Alat ganti bagi jentera ini juga masih mudah didapati. Dari segi nilai, jentera ini masih mendaki. Tak mustahil boleh jadi semahal abangnya iaitu Volkswagen Golf MK4 R32. Di USA, jentera Volkswagen Golf MK4 R32 dijual dengan harga sekitar USD65,000 bersamaan RM276,000 pada tahun lepas. Dan trend ini akan semakin menggila dari tahun ke tahun. Siapa yang ada tu, simpan dan jaga lah baik-baik.

Google ads
Back to top button