Buletin

VOLKSWAGEN GOLF R-LINE 2022 SUDAH BOLEH DITEMPAH. 8AT AISIN, BERMULA RM155K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Golf R-Line serba baharu digital sepenuhnya di Litar Antarabangsa Sepang. Golf itu merupakan model pemasangan tempatan di kilag Volkswagen di Pekan, Pahang.

“Kami berbangga kerana berpeluang memasang model ikonik Golf di Malaysia. Ini merupakan satu peluang terbaik untuk memiliki sebuah Golf yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter

Sedia maklum Golf merupakan satu revolusi automotif yang telah mengubah dunia permotoran sejak diperkenalkan pada tahun 1974. Ia juga membentuk dan menetapkan penanda aras melalui kejuruteraan dan prestasi yang luar biasa.

Dengan lebih 35 juta unit sudah terjual sehingga kini, Golf ialah ikon penting dalam industri automotif dunia.

Ketika Golf serba baharu memberi penghormatan kepada warisannya, ia tampil sebagai generasi paling progresif menerusi prestasi yang telah ditambah baik, peningkatan dari segi pendigitalan dan kawalan lebih intuitif.

Diinspirasikan oleh model R berprestasi tinggi, R-Line hadir dengan pakej gayaan sporty agar tampil lebih garang, pada masa sama mengekalkan nilai terbaik.

Gayaan

Model serba baharu ini mengekalkan rekaan Golf yang tidak ditelan zaman, tetapi dilihat lebih sporty dan ekspresif, terima kasih kepada gayaan R-Line.

Direka dengan mengambil kira aspek kecekapan aerodinamik, bampar hadapan signatur berbentuk C itu diposisikan sedikit rendah untuk memberi prestasi yang lebih responsif.

Lampu utama dan lampu belakang LED menjanjikan pandangan yang optimum. Manakala jalur LED nipis pada bahagian hadapan memberikannya gayaan yang tersendiri.

Penampilan yang sporty disempurnakan lagi dengan rim aloi Valencia bersaiz 17” dan sepasang ekzos krom.

Keselesaan

Bagi disesuaikan dengan rekaan luarannya yang sporty, R-Line hadir dengan tempat duduk hadapan sports dibalut fabrik Sardegna untuk keselesaan terbaik, lengkap bersama sulaman logo R-Line pada perehat kepala.

Nikmati visual menarik setiap kali memandu dengan pilihan 30 warna lampu ambien yang boleh disambungkan kepada mode pemanduan, atau berdasarkan mood dan kecenderungan anda. Terdapat lima mode warna yang telah ditala iaitu (Infinity, Eternity, Desire, Euphoria, Vitality) dan tetapan individu untuk dipilih.

Suasana ruang kabin yang selesa dan menenangkan itu dipertingkatkan lagi dengan sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon. Ubah suai suhu dengan menyentuh gelangsar atau hanya menerusi arahan suara.

Terdapat dua mode utama untuk sistem pendingin hawa iaitu Smart Climate dan Classic Climate yang setiap satunya hadir dengan pelbagai fungsi. Sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon itu turut dilengkapi ciri Air Care untuk menapis debunga, spora dan partikel bawaan angin demi memastikan udara sentiasa bersih.

Driver’s Workspace

Setiap aspek ruang dalaman diatur dengan teliti bagi memastikan kenderaan ini lebih terhubung dengan pemandu berbanding sebelumnya. Golf serba baharu menawarkan landskap dalaman digital sepenuhnya yang dikenali sebagai Driver’s Workspace bagi menyediakan kemudahan dan ketersambungan lancar.

Papan pemuka itu terdiri daripada Digital Cockpit bersaiz 10.25 inci generasi baru, stereng multi-fungsi dengan kawalan sentuh haptik, serta sistem infohibur Discover Media 10” termaju bersama navigasi binaan dalam 3D, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan pembesar suara berkualiti tinggi.

Operasi kenderaan yang intuitif disokong oleh sistem arahan suara pintar dan mudah diaktifkan dengan hanya perlu menyebut “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng. Ia akan memberi memberi maklum balas kepada arahan suara seperti “I’m cold” dengan menaikkan suhu.

Kualiti pengecaman dan suara untuk panggilan telefon juga lancar kerana ia boleh mengesan individu yang bercakap sama ada pemandu atau penumpang hadapan serta memberi maklum balas sewajarnya. Sebagai contoh, mengenal pasti zon suhu yang perlu diubah.

Enjin turbo 1.4TSI

Di bawah hud R-Line terletak enjin turbo 1.4TSI berkuasa 150PS dan tork 250Nm yang dipadankan bersama transmisi shift by wire automatik 8-kelajuan. Ia juga hadir dengan stereng yang progresif dan suspensi sports untuk pemanduan mengujakan. 

Ruang

Ruang terus menjadi keutamaan buat hatchback ikonik ini apabila ia menawarkan ruang yang luas buat seisi keluarga. Kargo seluas 381 liter itu boleh memuatkan peralatan sukan dan riadah yang besar.

Satu lagi ciri pintar kenderaan ini ialah akses pantas dengan pintu akan dibuka secara automatik apabila kunci berada dalam zon pengesanan tertentu. 

Keselamatan

Golf dibina agar selamat dengan kerangkanya dibina menggunakan kombinasi besi berkualiti tinggi yang dijurutera untuk menawarkan perlindungan maksimum kepada penumpang jika berlaku kemalangan.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah ESC (Electronic Stability Control); Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kedua, Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer, enam beg udara untuk pasca pelanggaran serta banyak lagi.

R-Line didatangkan dalam lima warna termasuklah dua warna baharu iaitu kelabu (Moonstone Grey) dan merah metalik (metallic Kings Red). Tiga lagi warna lain ialah biru metalik (Atlantic Blue), hitam (Deep Black) dan putih mutiara (Oryx White).

Golf R-Line ditawarkan pada harga yang kompetitif iaitu RM155,000 hingga RM165,000 unit dengan pengecualian cukai jualan SST. Ia juga hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

VPCM menyokong aspek selepas jualan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Tempahan dan sesi pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Anda juga boleh mengakses Volkswagen eShowroom di https://eshowroom.volkswagen.com.my/.

GALERI

Google ads
Back to top button