Modifikasi

VOLKSWAGEN GOLF MK5, DENGAN ENJIN W12. 650 HP, 750NM TORK

Pada tahun 2007, Volkswagen Group bercadang untuk menyertai Worthersee GTI Festival dengan menghantar sebuah Volkswagen Golf sebagai sebuah kereta projek. Tapi sebagai sebuah syarikat besar, nampak kurang molek jika Volkswagen sekadar menukar rim, memasang spoiler dan menampal perkataan Jepun pada bampar semata-mata

Jadi jurutera Volkswagen menghasilkan satu projek yang cukup mencabar, masukkan enjin yang lebih besar pada Golf ini. Berikut ialah perincian projek yang telah dijalankan dan diberi nama Volkswagen Golf GTi W12

1. Model yang digunakan ialah Volkswagen Golf MK5 keluaran tahun 2005. Enjin asal, transmisi, kemasan dalaman serta kusyen tempat duduk belakang dibuka. Hanya pintu, hud depan dan lampu sahaja dikekalkan. Lebar Golf ini bertambah sebanyak 165mm manakala ketinggiannya direndahkan 70mm.

2. Tayar belakang pula ditukar kepada saiz 295mm disebabkan kuasa enjin sekarang dihantar ke tayar belakang. Tayar depan menggunakan saiz 235mm. Enjin Bentley 6000cc dengan susunan W dipasang berhampiran pusat graviti, iaitu di belakang pemandu menjadikan Golf ini menggunakan konfigurasi MR

3. Enjin W 12 silinder ini dipadankan dengan turbo berkembar bagi menghasilkan 650 kuasa kuda serta 750Nm tork pada 4500 RPM, iaitu 2 kali ganda dari kuasa yang dihasilkan oleh Golf R dan Lamborghini Urus. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan automatik Tiptronic dari Volkswagen Phaeton yang mampu menahan 750Nm tork

4. Dari segi prestasi, Golf ini boleh memecut 0-100km/j dalam masa 3.7 saat sahaja dan halaju tertinggi yang pernah dicapai ialah 325km/j. Sebagai perbandingan Lamborghini Murchialago menghasilkan kurang 17 kuasa kuda dan 90Nm tork dari Golf ini

5. Bagi menjayakan projek ini, Volkswagen menggunakan semua komponen dari subsidiari syarikat mereka yang lain. Sistem brek di bahagian depan diambil daripada Audi RS4 manakala gandar belakang dan sistem brek di bahagian belakang menggunakan brek Lamborghini Gallardo. Cesi bahagian tengah untuk menyokong enjin dipinjam dari Audi R8

6. Rekaan luar Golf ini terpaksa direka semula bagi tujuan sejukan enjin dan sistem brek. Komponen badan dihasilkan daripada gabungan gentian karbon dan juga keluli dalam satu unit, agak kompleks untuk dihasilkan. Bampar depan memiliki rongga kemasukan udara yang besar dan ruang kemasukan udara di tepi untuk menyejukkan enjin W12

7. Kusyen asal digantikan dengan kusyen bucker perlumbaan dengan balutan kulit Alcantra. 3 meter tambahan pada papan pemuka adalah diasaskan pada rekaan asal Golf GTi generasi pertama. Suis yang penting seperti menyahaktifkan sistem ESC diberikanpenutup agar pemandu tidak sengaja mematikan fungsi ini.

Volkswagen Golf GTi W12 ini kekal sebagai sebuah kereta konsep paling ekstrim yang pernah dihasilkan oleh Volkswagen dan berasaskan model produksi. Ia tidak pernah dihasilkan secara besar-besaran tapi menjadi penanda aras kelahiran Golf R.

Google ads
Back to top button