Buletin

VOLKSWAGEN JETTA GLI 2025 – SEBUAH SEDAN YANG SPORTY UNTUK MASA DEPAN

Kalau diikutkan, Volkswagen Jetta ini tidaklah begitu popular berbanding adik beradiknya dalam kategori hatchback si Golf itu. Namun hakikatnya Volkswagen Jetta ini masih lagi merupakan model sedan kompak yang dianggap cukup penting bagi segmennya.

Bagi meneruskan kesinambungan legasi Jetta, Volkswagen telah memperkenalkan Jetta 2025 yang lebih segar termasuklah varian GLI, yang dianggap model lebih sporty berbanding varian standard. Dan tidak syak lagi, Volkswagen Jetta ini adalah antara model yang popular buat mereka di pasaran Amerika Utara semestinya. Dan untuk varian GLI ini, ianya telah diberikan penampilan dan talaan yang lebih sporty berbanding varian standard.

Pada fascia hadapan ianya telah diberikan rekaan yang lebih baharu dan segar termasuklah pada bahagian gril dan bampar. Lampu utama LED juga telah direka dengan imej baharu. Untuk varian GLI ini, terdapat kemasan garisan pada bampar berwarna Merah yang memberikan sedikit imej sedikit sporty berbanding varian standard.

Berbanding varian standard, terdapat eleman kemasan berwarna hitam seperti perumah cermin sisi dan juga bumbung untuk lebih kontra berbanding warna badan kenderaan serta memberikan kesan penampilan yang sedikit sporty juga sebenarnya. Begitu juga rim bersaiz 18 inci juga telah menggunakan warna hitam berkilat.

Dari trenkuasa, varian GLI ini menggunakan nadi yang lebih berkuasa, enjin 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 228 HP dan juga 350 Nm. Jauh lebih berkuasa berbanding varian standard yang menggunakan enjin 1.5 liter turbo. Tapi paling seronok, hanya varian GLI ini sahaja yang menawarkan kotak gear manual enam kelajuan. Barulah sedap memecut ketika di lampu isyarat.

Juga dikenali sebagai bayangan kepada model GTI versi sedan, varian GLI ini turut menampilkan brek cakera yang lebih besar, pembezaan gelinciran terhad pengesan tork terkawal VAQ dan tak lupa juga sistem ekzos yang lebih sporty.

Kini semua varian Jetta turut dilengkapi dengan sistem IQ.DRIVE meliputi sistem radar di hadapan dan belakang bagi membolehkan mengumpul data sekeliling sekali gus mengaktifkan bantuan pemanduan separa automatik berfungsi.

Model baharu Jetta ini dijangka mula dijual bermuka suku ketiga 2024 dengan harga yang boleh dijangka sekitar $30,000 (RM141,533) untuk varian GLI ini.

BACA : VOLKSWAGEN JETTA R – NEVER SAY NEVER, KATANYA

BACA : VOLKSWAGEN JETTA MODIFIED ORIGINAL FAST & FURIOUS UNTUK DIJUAL – SEMESTINYA TIDAK MURAH

Google ads

B K

Back to top button