Buletin

VOLKSWAGEN TUKAR LOGO TAHUN DEPAN, MAHU JADI KURANG ‘JERMAN’

Volkswagen AG dilapor bakal menukar logonya buat pertama kali sejak tahun 2012. Itu merupakan kali terakhir emblem Volkswagen ditukar yang kelihatan lebih tiga dimensi, selepas jenama tersebut kembali bangkit setelah perang dunia kedua tamat.

Langkah itu diambil sebagai persediaan menghadapi era kenderaan elektrik, selain cuba untuk mengembalikan imej yang rosak akibat skandal penipuan emisi enjin diesel.

Logo baharu itu akan diperkenalkan tahun depan, selari dengan perancangan pengeluar kenderaan berpengaruh Jerman tersebut untuk menawarkan lebih banyak model elektrik kepada pengguna.

“Jenama Volkswagen tidak berada dalam keadaan yang baik berbanding sebelum ini. Ia kehilangan tarikan emosi kerana cuba menjadi terlalu Jerman. Bukan kerana skandal diesel sahaja,” kata Ketua Pegawai Jenama Volkswagen, Jochen Sengpiehl dalam satu sidang media di Berlin, Jerman.  

Volkswagen juga dilapor akan mengembangkan penggunaan media sosial dan digital untuk pemasarannya. Terutama bagi menyakinkan pengguna yang masih skeptikal untuk beralih kepada kereta elektrik.

Penukaran kepada imej yang lebih segar itu dijangka memberi pulangan terhadap pelaburan Volkswagen ke atas kenderaan elektrik yang kini sudah mencecah 20 bilion euro (RM96.4 bilion).

Volkswagen mahu menjadi jenama yang lebih mudah didekati. Justeru, ia merancang untuk membuka hab-hab pemasaran di rantau-rantau penting yang mampu memberi maklum balas lebih pantas atas apa jua perubahan.  

Sebagaimana yang kita tahu, Volkswagen bakal memperkenalkan model elektrik hatchback I.D pada tahun 2020, sebelum diikuti oleh SUV, minivan dan sedan.

“Cabaran paling besar ialah bagaimana kami ingin membawa pengguna ke dalam dunia kenderaan elektrik. Kami mahu pengguna berseronok dengan kami dan kenderaan juga akan lebih ceria,” kata Sengpiehl.   

Google ads
Back to top button