VOLVO EM90 DILANCARKAN DI CHINA – JANA 268HP, JARAK GERAK 738KM, HARGA BERMULA RM538K
Volvo baru-baru ini melancarkan model minivan elektrik pertama, EM90, untuk pasaran China dan boleh dimiliki pada harga sekitar AS$114,000 (RM538,194).
EM90 pada asasnya ialah Zeekr 009 dalam kostum Volvo dengan dimensi berukuran pada 5,209mm (panjang), 2,024mm (lebar), 1,867mm (tinggi) dan jarak roda 3,205mm.
Di bahagian luar, ia dipadankan bersama gril serta lampu hadapan baharu selain, bahagian belakang juga dikemas kini termasuk dimuatkan dengan lampu belakang baharu dan diserlahkan lagi melalui rim 19-inci atau 20-inci.
Dengan susun atur tempat duduk 2-2-2, ia dilengkapi dengan sepasang kerusi lounge mewah pada baris kedua, meja boleh dilipat, skrin infotainmen 15.4-inci, skrin bersaiz 15.6-inci dengan paparan HD di bahagian belakang.
Perincian lain termasuklah disertakan dengan panel kawalan sistem pendingin hawa digital pada pintu gelangsar, sistem audio Bowers & Wilkins 21-pembesar suara dan Snapdragon Cockpit Platforms dari Qualcomm Technologies dengan hubungan 5G.
Beralih kepada kuasa, MPV ini dijana oleh motor elektrik yang dipasang di bahagian belakang, menghasilkan 268hp, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa dalam 8.3 saat.
Walaupun Volvo EM90 adalah RWD sahaja buat masa ini, Zeekr 009 juga hadir dalam persediaan dwi-motor AWD yang jauh lebih berkuasa, menghamburkan 536hp dan pecutan 4.5 saat.
Pek bateri 116-kWh yang besar boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang daripada 30 minit dan menawarkan jarak gerak sejauh 738 kilometer dalam Kitaran CLTC.
Volvo berkata EM90 sudah tersedia untuk pra-tempah China di mana ia bakal menyaingi van mini mewah lain seperti Lexus LM serta Buick GL8.
GALERI: